Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (dua dari kiri) pada sidang media selepas Perasmian Simposium Pengembangan Jabatan Pertanaian 2024 di Hotel KSL Esplanade, Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (dua dari kiri) pada sidang media selepas Perasmian Simposium Pengembangan Jabatan Pertanaian 2024 di Hotel KSL Esplanade, Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Norzamira Che Noh

Klang: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mahu sempadan negara dipertingkatkan penguatkuasaan bagi mengekang penyeludupan masuk kambing dan lembu terutamanya menjelang Hari Raya Aidiladha.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata haiwan ternakan yang dibawa masuk tanpa melalui proses undang-undang bukan sahaja menjejaskan penternak tempatan malah dikhuatiri membawa penyakit.

"Untuk persiapan Aidiladha ini, kita harapkan penguatkuasaan di sempadan dipertingkatkan. Haiwan ternakan seperti kambing yang diseludup masuk ada yang dijual pada harga RM280 hingga RM300 seekor.

"Penternak tempatan pula perlu menjual sekurang-kurang RM600 seekor kerana perlu mengambil kira kos makanan dan penjagaan ternakan. Jika di Lembah Klang, harganya boleh mencecah RM1,000 seekor.

"Kemasukan haiwan ternakan secara haram ini sekaligus akan menjejaskan penternak tempatan terutamanya di Kelantan; Terengganu; Kedah dan Perak. Sudah pasti kita perlu utamakan penternak tempatan.

"Kita juga bimbang, ternakan yang masuk ini membawa penyakit kerana tidak melalui proses pemeriksaan dan kelulusan daripada Jabatan Veterinar," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Simposium Pengembangan Subsektor Tanaman Jabatan Pertanian Tahun 2024 di sini, hari ini.

Terdahulu, pada majlis berkenaan Mohamad melancarkan kemudahan khidmat pengembangan bergerak yang dikenali sebagai Klinik Doktor Pokok yang menyediakan kemudahan seperti makmal mini (khidmat analisis air/tanah, diagnostik penyakit/perosak), bahan rujukan, ruangan perbincangan, dan kemudahan pameran.

Beliau berkata, setakat ini perkhidmatan berkenaan disediakan di empat negeri iaitu Selangor; Negeri Sembilan; Melaka serta Johor dan ia akan dikembangkan ke setiap negeri.

"Untuk mereka yang hadapi masalah tanaman seperti kerosakan atau terkena penyakit boleh dihubungi doktor pokok.

"Mereka dibekalkan dengan alat moden untuk mengesan penyakit dengan segera dan menasihatkan pekebun dengan penyelesaian segera mengikut ilmu yang dibekalkan kepada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 1:21 PM