SANGEET Singh. FOTO NDTV
SANGEET Singh. FOTO NDTV
Agensi

New Delhi: Polis India menahan seorang lelaki di lapangan terbang antarabangsa New Delhi, baru-baru ini, kerana menyamar sebagai juruterbang Singapore Airlines (SIA), selepas dia ditemukan berjalan di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, dengan berpakaian uniform juruterbang.

The Straits Times melaporkan Sangeet Singh, 24, dikesan bertindak seperti pelakon Leonardo DiCaprio yang memainkan watak utama filem Hollywood, Catch Me If You Can.

Dia memakai pakaian seragam juruterbang, mempunyai kad pengenalan diri (ID) SIA di lehernya yang memberinya akses kepada operasi dalam penerbangan.

Setelah disoal siasat dan diperiksa oleh pegawai dari Pasukan Keselamatan Perindustrian Pusat India, ID pada Sangeet itu didapati palsu.

Dia membuat ID palsu dengan aplikasi dalam talian dan membeli pakaian seragam itu daripada Pilot 18, sebuah kedai aksesori penerbangan di Delhi, lapor Press Trust India yang memetik sumber pegawai polis.

Sangeet juga berbohong kepada keluarganya bahawa dia bekerja sebagai juruterbang SIA.

Siasatan awal mendedahkan bahawa dia menamatkan kursus hospitaliti penerbangan selama setahun di sebuah institusi di Mumbai, pada 2020.

Berasal dari negeri utara Uttar Pradesh, dia didakwa atas tuduhan menipu dan pemalsuan. Siasatan sedang dijalankan mengikut Kanun Keseksaan India, kata polis tempatan.

"Sangat gembira dia ditangkap," kata Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke India Simon Wong menyiarkan pada X bersama foto Singh.

SIA berkata, ia menyedari insiden berkenaan seorang individu yang menyamar sebagai juruterbang SIA di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi tetapi tidak boleh mengulas lanjut kerana siasatan sedang dijalankan.

Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi adalah satu daripada lapangan terbang paling sibuk di dunia, mengendalikan kira-kira 72 juta penumpang pada 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 1:08 PM