KETUA jurulatih Itali, Roberto Mancini memberi arahan kepada pemainnya ketika separuh akhir Euro 2020 menentang Sepanyol di Wembley, semalam. FOTO EPA
KETUA jurulatih Itali, Roberto Mancini memberi arahan kepada pemainnya ketika separuh akhir Euro 2020 menentang Sepanyol di Wembley, semalam. FOTO EPA
Agensi

London: Roberto Mancini bangga dengan semangat dan kesungguhan pemain Itali apabila menewaskan Sepanyol untuk mara ke final Kejuaraan Eropah, semalam.

England atau Denmark akan menanti Azzurri di Wembley pada aksi final, Ahad ini, selepas mereka mengatasi La Roja menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1.

Itali menjaringkan gol pembukaan menerusi sepakan melencong Federico Chiesa pada babak pertama, tetapi pemain gantian Sepanyol, Alvaro Morata menyamakan kedudukan untuk mengheret aksi ke masa tambahan.

Mereka terikat 1-1 sehingga 120 minit perlawanan dan ditentukan menerusi sepakan penalti, dengan sepakan Morata diselamatkan Gianluigi Donnarumma dan Jorginho kemudian memastikan kemenangan 4-2 buat anak buah Mancini.

"Buat pertama kalinya, kami gembira menghadiahkan hiburan petang yang bermakna dan indah buat rakyat Itali," kata bekas pengurus Manchester City itu.

"Kini kami hanya tinggal satu perlawanan saja lagi dan akan menyempurnakannya dengan sebaik mungkin.

"Kami sedar perlawanan sukar di separuh akhir kerana Sepanyol adalah pasukan terbaik dunia daripada segi penguasaan bola.

"Mereka memberikan banyak masalah. Kami cuba bertahan apabila perlu dan cuba mencipta peluang apabila ada kesempatan.

"Ia adalah perlawanan terbuka dan sudah tentu timbul masalah kerana kami tidak menguasai perlawanan.

"Bagaimanapun, kami mahu mara ke final dan terus berjuang hingga ke saat akhir. Seperti biasa, penentuan sepakan penalti seperti loteri dan saya memuji Sepanyol kerana mereka pasukan luar biasa."

Itali bermain dengan meyakinkan di Euro 2020 dan meneruskan rekod tanpa kalah kepada 33 perlawanan, tetapi Mancini sedar mereka belum mencapai apa-apa.

"Saya berterima kasih kepada pemain kerana mereka yakin sejak hari pertama lagi, kami akan mencipta sesuatu yang luar biasa," katanya.

"Tetapi, misi belum selesai dan ada satu lagi langkah perlu disudahkan. Kini, kami perlu berehat kerana final nanti pasti lebih mencabar."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 10:57 PM