MORATA berjalan dengan penuh kecewa selepas Sepanyol tumpas di separuh akhir Euro 2020. FOTO EPA
MORATA berjalan dengan penuh kecewa selepas Sepanyol tumpas di separuh akhir Euro 2020. FOTO EPA
Agensi

Londom: Dikecam teruk, menerima ugutan bunuh dan digugurkan secara mengejut dalam kesebelasan utama, Alvaro Morata berdepan pelbagai rintangan di Euro kali ini.

Selepas ketinggalan 0-1, dia seperti sudah berjaya mengetepikan segala masalah apabila masuk meledak gol penyamaan.

Dia membuktikan sangat berharga di dalam pasukannya dan tidak perlu menerima pelbagai kecaman.

Bagaimanapun, gagal menyempurnakan gol dalam penentuan penalti terus mengurangkan reputasinya sebagai pemain hebat kepada kambing hitam.

Sepakan yang diambil Morata ke arah kanan, berjaya diselamatkan penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma.

"Pasukan ini berhak memperoleh lebih, lebih dari ini. Sama seperti semua rakyat Sepanyol, ia juga impian saya dan juga impian pasukan.

"Saya hanya boleh kata, saya bangga menjadi sebahagian pasukan ini. Kepada siapa yang mempercayai kami, terima kasih. Bola sepak boleh menjadi sangat sukar pada satu masa," kata Morata dalam Instagram.

Morata beraksi dalam kesebelasan utama hampir semua perlawanan di Euro walaupun mendapat kritikan bergelut untuk menjaringkan gol.

Jurulatih Sepanyol, Luis Enrique berkata, keputusan untuk mengetepikannya dalam kesebelasan utama menentang Itali adalah disebabkan kecederaan.

"Dia berdepan masalah kecederaan. Walaupun banyak diperkatakan mengenai personalitinya dia tetap mahu mengambil penalti.

"Dia berdepan masa yang sangat sukar di kejohanan ini tapi dia sangat hebat. Dia banyak menghadirkan ancaman terhadap pemain Itali. Dia menjaringkan gol dan sudah tentu dia sangat cemerlang," kata Enrique.

Pemain berusia 28 tahun itu berjalan terus meninggalkan padang selepas Jorginho meledak penalti kemenangan buat Itali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 9:17 AM