REAKSI Morata selepas gagal menyempurnakan penalti. FOTO AFP
REAKSI Morata selepas gagal menyempurnakan penalti. FOTO AFP
Agensi

London: Kekalahan Sepanyol menerusi penentuan penalti ketika menentang Itali pada separuh akhir Euro 2020 awal pagi tadi pasti sukar dilupakan Alvaro Morata yang gagal menyempurnakan sepakan pada detik penting.

Tetapi La Roja tidak akan mengheret perlawanan ke masa tambahan jika tidak kerana jaringan penyamaannya.

Skuad Azzurri kendalian Roberto Mancini tampak menghampiri final hasil jaringan menarik Federico Chiesa tetapi Morata yang dimasukkan pada babak kedua menyamakan kedudukan pada minit ke-80.

Morata digugurkan daripada kesebelasan utama selepas dikeluarkan pada awal babak kedua ketika menentang Switzerland di suku akhir dan jurulatih Luis Enrique menyenaraikan Dani Olmo, Ferran Torres dan Mikel Oyarzabal.

Namun kemasukannya sebagai pemain gantian ternyata menambah sengat di bahagian hadapan Sepanyol apabila tenang merembat gol penyamaan untuk jaringan ketiganya di Euro 2020 dan keenam dalam semua Kejohanan Eropah sekali gus rekod baharu buat La Roja.

Dia memintas rekod Fernando Torres selain pemain kedua dalam sejarah Eropah yang menjaringkan tiga atau lebih gol dalam beberapa edisi kejohanan selepas Cristiano Ronaldo.

Bagaimanapun, Morata menyaksikan sepakan penaltinya diselamatkan Gianluigi Donnarumma yang merebahkan badan ke sebelah kiri sebelum Jorginho tenang meledak penalti terakhir untuk membawa Itali ke final.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 6:50 AM