PEMAIN Itali meraikan kejayaan selepas mengesahkan slot ke final apabila mengalahkan Sepanyol menerusi penentuan penalti 4-2. FOTO EPA
PEMAIN Itali meraikan kejayaan selepas mengesahkan slot ke final apabila mengalahkan Sepanyol menerusi penentuan penalti 4-2. FOTO EPA
AFP

London: Alvaro Morata berjaya menjaringkan gol penyamaan namun gagal menyempurnakan tugasan dalam penentuan penalti sekali gus menyaksikan Itali menyingkirkan Sepanyol untuk mara ke perlawanan akhir Euro 2020 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 di masa sebenar di Wembley.

Rembatan lencong Federico Chiesa meletakkan Itali di depan selepas sejam perlawanan berlangsung namun Morata yang masuk sebagai pemain gantian berjaya meledak gol penyamaan pada minit ke-80 untuk mengheret aksi ke masa tambahan.

Itali yang memburu kejuaraan Euro buat kali pertama sejak 1968, memenangi penentuan penalti 4-2 untuk layak ke perlawanan akhir awal pagi Isnin depan dan akan menentang pemenang di antara England dan Denmark.

Drama penentuan penalti bermula dengan Manuel Locatelli dan Dani Olmo, masing-masing gagal menyempurnakan sepakan pertama.

Sepakan kedua pula menyaksikan Andrea Belotti dan Gerard Moreno menyempurnakan tugas masing-masing, begitu juga Leonardo Bonucci dan Thiago Alcantara.

Bagaimanapun, selepas Federico Bernadeshi menyempurnakan sepakan ketiga buat Itali, Morata gagal menyempurnakan tugasannya sekali gus memusnahkan harapan Sepanyol selepas Jorginho tenang menyelesaikan tugas ketika mengambil sepakan terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 6:05 AM