Maliaman (berkopiah) menyampaikan replika cek kepada Norina (empat kanan) disaksikan Ahmad Faris (lima kiri) hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR
Maliaman (berkopiah) menyampaikan replika cek kepada Norina (empat kanan) disaksikan Ahmad Faris (lima kiri) hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menyediakan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk pinjaman modal perniagaan pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, pinjaman tanpa faedah di bawah Program Jaya Diri (PJD) itu bertujuan membantu keluarga berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan.

Katanya, kadar pinjaman tanpa faedah dan cagaran itu disediakan antara RM5,000 hingga RM20,000.

"Sejak Januari lalu, YPKT mengeluarkan pinjaman modal perniagaan kepada 227 keluarga membabitkan kos sebanyak RM2.6 juta.

"Kadar pinjaman tanpa cagaran dan faedah dikeluarkan kepada 39 peserta di daerah Besut adalah sebanyak RM408,000," katanya kepada media pada program Hari Bertemu Pelanggan 2024 dan Jalinan Mesra YPKT, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah YPKT, Ahmad Faris Abd Razak dan Pengetua Asrama Anak-Anak Yatim Darul Falah (Perkasa), Norina Mohamad.

Maliaman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Ajil berkata, pinjaman dikeluarkan kepada 33 peserta di daerah Setiu membabitkan jumlah sebanyak RM386,000.

Katanya, seramai lapan peserta di daerah Kuala Nerus memperolehi pinjaman keseluruhan berjumlah RM93,000, daerah Kuala Terengganu (19 peserta) membabitkan pinjaman RM210,000.

"Daerah Marang membabitkan seramai 47 peserta (RM576,000), Hulu Terengganu 16 peserta (RM220,000), Dungun 28 peserta (RM321,000) dan 37 peserta di daerah Kemaman membabitkan jumlah pinjaman sebanyak RM376,000," katanya.

Mengenai bayaran balik pinjaman, Maliaman berkata, kerajaan negeri berpuas hati dengan bayaran balik oleh semua peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 1:20 PM