AKSI  Busquets  (kiri) mengasak pemain Itali. FOTO EPA
AKSI Busquets (kiri) mengasak pemain Itali. FOTO EPA
AFP

London: Kapten Sepanyol Sergio Busquets berkata pasukannya akan kembali lebih kuat selepas mendapat pengalaman berguna di separuh akhir Euro 2020 walaupun tewas kepada Itali menerusi penentuan penalti.

"Memalukan, kami tidak mahu ia berakhir hari ini tetapi itulah bola sepak,'' kata Busquets kepada Radio Marca.

"Pasukan ini sangat bagus, kami jauh lebih baik daripada mereka hampir keseluruhan perlawanan dan saya bangga dengan rakan sepasukan. Semua orang memilih Itali tapi kami tunjukkan kami lebih baik.''

Pemain gantian Alvaro Morata menyamakan kedudukan buat Sepanyol di Wembley selepas Federico Chiesa meletakkan Itali di depan selepas sejam perlawanan.

Perlawanan terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti selepas kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat masa tambahan dan kegagalan Morata dan Dani Olmo menjalankan tugas membolehkan Itali menang 4-2 dan mara ke final.

"Dengan ramai pemain muda akan memberikan lebih keyakinan. Pasukan ini akan kembali,'' kata Busquets.

"Keseluruhannya saya percaya kami lebih baik tetapi bola sepak seperti itu. Kami ucapkan tahniah kepada Itali. Masih ada setahun setengah sebelum Piala Dunia. Kami berada di landasan tepat.''

Busquets, kini berusia 32, pemain tunggal dalam skuad Piala Dunia 2010 yang menewaskan Belanda di final.

Pemain tengah Barcelona itu belum memikirkan masa depan dalam karier antarabangsa.

"Belum masanya. Ketika ini saat sedih dan bangga pada masa sama. Ia bukan detik untuk masa depan saya tetapi kami semua.''

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 7:20 AM