SOUTHGATE bantu England sehingga ke separuh akhir. FOTO EPA
SOUTHGATE bantu England sehingga ke separuh akhir. FOTO EPA
Agensi

London: England mempunyai 'peluang sangat istimewa' untuk memberi kegembiraan kepada peminat mereka apabila bakal berdepan Denmark pada aksi separuh akhir Euro 2020 awal pagi Khamis, kata pengurus Gareth Southgate.

Kemenangan 4-0 ke atas Ukraine pada aksi suku akhir di Rom menyaksikan skuad bimbingan Southgate melangkah bergaya ke separuh akhir.

Mereka kini kembali ke Wembley, venue yang menjadi saksi penampilan England di separuh akhir Euro 25 tahun lalu.

"Perlawanan England menyatukan keluarga dan komuniti," kata Southgate.

Bercakap kepada BBC, beliau menambah: "Berpeluang memberikan kegembiraan dan malam yang istimewa untuk penyokong kami dan negara adalah perkara yang sangat istimewa apabila anda beraksi bersama England.

"Ada perlawanan yang anda akan ingati apabila beraksi dan menerima mesej daripada individu yang menghargai sumbangan anda.

"Itulah perasaan yang sangat istimewa. Sebagai pemain, anda harus berbangga dengannya."

Kemenangan akan menyaksikan England melangkah ke pentas final di kejohanan utama buat kali pertama sejak menjulang Piala Dunia 1966.

Ditanya apakah makna kepadanya jika dapat melangkah ke pentas final, Southgate berkata: "Ia memberi makna kepada England.

"Jika anda menjadi jurulatih, samalah seperti peranan sebagai ibu bapa. Anda melepasi pengalaman lalu dan pengalaman itu dicurahkan kepada generasi seterusnya."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 6:52 AM