PEMAIN sayap England, Jadon Sancho pada sesi latihan menjelang perlawanan menentang Ukraine, hari ini. FOTO AFP.
PEMAIN sayap England, Jadon Sancho pada sesi latihan menjelang perlawanan menentang Ukraine, hari ini. FOTO AFP.
Agensi

London: Jack Grealish berada di bangku simpanan, manakala Jadon Sancho turun dalam kesebelasan utama England menentang Ukraine di suku akhir Euro 2020, malam ini, lapor SunSport.

Pemain sayap, Sancho, yang setuju untuk menyertai Manchester United dari Borussia Dortmund, akan diberi kepercayaan oleh jurulatih the Three Lions, Gareth Southgate.

Pemain berusia 21 tahun itu hanya sekali diturunkan sebagai pemain gantian ketika England melangkah ke suku akhir.

Kini Sancho akan diturunkan dalam kesebelasan utama pertemuan di Rome apabila Southgate kembali kepada formasi asal, 4-2-3-1 selepas menang 2-0 ke atas Jerman dengan formasi 3-4-3.

Raheem Sterling, penjaring terbanyak the Three Lions setakat ini dan menggamatkan Wembley dengan gol pembukaan pada Selasa lalu, akan kekal di posisi serangan.

Grealish kemudian dimasukkan dan mengumpan kepada Harry Kane untuk menjaringkan gol kedua ke atas Jerman dan Kane sekali lagi akan mengetuai pasukan hari ini.

Pemain pertahanan, Kieran Trippier yang dilaporkan mengalami masalah otot, tidak akan berada dalam senarai empat pemain pertahanan.

Luke Shaw kekal sebagai bek kiri manakala Kyle Walker di posisi bek kanan sambil John Stones dan Harry Maguire kekal sebagai dua bek tengah.

Mason Mount akan kembali di bahagian tengah dan bermain di belakang Kane.

Kalvin Phillips dan Declan Rice dijangka diturunkan sekalipun memiliki kad kuning manakala Jordan Pickford kekal di depan gawang England.

Southgate menyifatkan peranan pemain dan penyokong di Wembley sangat besar pada perlawanan menentang Jerman.

Kini, dia berharap keputusan positif di Rome, sekali pun sedar bermain tanpa sokongan kuat berikutan penyokong tidak dapat datang ke Itali dan mengharapkan penyokong yang bermastautin di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 10:04 PM