PEMAIN Itali meraikan kejayaan melangkah ke separuh akhir Euro 2020 selepas menewaskan Belgium di Allianz Arena di Munich, semalam. FOTO AFP
PEMAIN Itali meraikan kejayaan melangkah ke separuh akhir Euro 2020 selepas menewaskan Belgium di Allianz Arena di Munich, semalam. FOTO AFP
Agensi

London: Tiada pasukan lebih baik berbanding Itali di Euro 2020 dan selepas menyingkirkan Belgium di suku akhir, semalam, mereka kini hanya tinggal dua perlawanan untuk muncul juara.

Dua jaringan luar biasa menerusi Nicolo Barella dan Lorenzo Insigne cukup untuk menang 2-1 dan layak ke separuh akhir menentang Sepanyol di Wembley.

"Sejak hari pertama, Itali menunjukkan kehadiran mereka dan mengetuk pintu pertandingan dan ini adalah petanda bahawa mereka bersedia memenangi Kejuaraan Eropah," kata bekas penyerang Jerman, Jurgen Klinsmann kepada BBC One.

Tetapi, di separuh akhir nanti, mereka kehilangan bek kiri yang menyerlah di kejohanan ini iaitu Leonardo Spinazzola yang tersisih akibat cedera tendon Achilles.

Itali yang gagal menang gelaran Euro sejak 1968 kini tidak tewas sejak hampir tiga tahun lalu. Mereka kini tidak tewas 32 perlawanan termasuk 13 kemenangan berturut-turut dan hanya dibolosi dua kali dalam tempoh itu.

Tetapi, sebelum Euro 2020 bermula, tidak banyak kemenangan itu dicapai berdepan pasukan ternama.

"Sebelum kejohanan, saya perasan kehebatan mereka apabila ramai orang menyatakan mereka sukar dikalahkan, jadi boleh lihat nanti bagaimana mereka berdepan pasukan handal," kata Chris Sutton kepada BBC Radio 5 Live.

"Kita sudah melihat wibawa sebenar mereka sekarang."

Klinsmann berkata: "Prestasi mereka daripada serangan memang menarik. Kombinasi permainan dan hantaran mereka bagus.

"Dalam masa seminit 30 saat, mereka melakukan antara 25 hingga 30 hantaran dan Belgium kecewa sehingga bertahan bertahan selama seminit."

Jurulatih Itali yang pernah mengendalikan Manchester City, Roberto Mancini berkata: "Kami berhak menang. Pemain saya luar biasa."

"Kami berhempas pulas pada 10 minit terakhir kerana sudah letih. Mungkin kami boleh menjaringkan lebih banyak gol.

"Perjalanan kami masih panjang, ada baki dua lagi perlawanan. Mari kita nikmati kemenangan di suku akir ini dulu. Tahniah kepada semua yang bermain dengan baik."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 11:46 PM