PENJAGA gol Itali Gianluigi Donnarumma beraksi cemerlang mengekang percubaan BElgium. FOTO AFP
PENJAGA gol Itali Gianluigi Donnarumma beraksi cemerlang mengekang percubaan BElgium. FOTO AFP
AFP

Paris: Itali menewaskan Belgium 2-1 dalam aksi suku akhir di Munich dan mara ke separuh akhir berdepan Sepanyol yang menang menerusi penentuan sepakan penalti mengatasi Switzerland yang beraksi dengan 10 pemain.

Percubaan cantik dari Lorenzo Insigne membantu Itali memenangi perlawanan, melebarkan rekod tanpa kalah pasukan itu kepada 32 perlawanan.

Skuad Roberto Mancini akan berdepan Sepanyol pada aksi separuh akhir pertama Rabu depan di Wembley.

"Kami layak untuk menang. Pemain sangat luar biasa," kata Mancini.

"Memang jelas kami berdepan kesukaran pada 10 minit terakhir kerana kepenatan. Mereka sangat bagus, kami boleh menjaringkan beberapa gol lagi."

Belgium dan Itali menjadi satu-satunya pasukan yang menang 10 perlawanan di pusingan kelayakan dan satu-satunya pasukan disamping Belanda menang semua perlawanan di peringkat kumpulan.

Azzurri yang hanya pernah menjulang kejuaraan Eropah pada 1968, bermula dengan cemerlang dengan membuka jaringan menerusi percubaan Leonardo Bonucci namun VAR mengesahkan gol berkenaan ofsaid.

Nicolo Barella meletakkan Itali di depan pada minit ke-31 menerusi pergerakan solo yang baik, melepasi kawalan dua pemain pertahanan sebelum melakukan rembatan dari jarak jauh untuk menewaskan Thibaut Courtois.

Itali terus menggegar apabila percubaan Insigne menembusi gawang Belgium hasil sepakan jarak jauh beberapa minit sebelum masa pertama tamat.

Namun Belgium merapatkan kedudukan menerusi Romelu Lukaku yang menyempurnakan sepakan penalti pada masa tambahan separuh masa pertama selepas Jeremy Doku dikasari dalam kotak penalti oleh Giovanni Di Lorenzo.

Belgium berusaha keras untuk menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua dengan Lukaku dikawal ketat oleh barisan pertahanan.

Doku cuba untuk melepasi kawalan ketat ketika pasukan nombor satu dunia itu berada dalam tekanan untuk mencari kemenangan namun Itali berjaya bertahan hingga ke wisel penamat untuk membawa pasukan itu ke separuh akhir buat kali keenam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 6:01 AM