KAPTEN Itali Giorgio Chiellini (kanan) bersorak selepas menjaringkan gol, tetapi gol itu kemudian dibatalkan VAR pada perlawanan dengan Switzerland, semalam. FOTO AFP
KAPTEN Itali Giorgio Chiellini (kanan) bersorak selepas menjaringkan gol, tetapi gol itu kemudian dibatalkan VAR pada perlawanan dengan Switzerland, semalam. FOTO AFP
AFP

Rome: Kapten Itali, Giorgio Chiellini mungkin terlepas perlawanan terakhir Kumpulan A Euro 2020 menentang Wales kerana kecederaan otot, tetapi dijangka cergas di pusingan kalah mati, kata sumber pasukan itu, hari ini.

Pemain berusia 36 tahun itu terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama ketika mereka menang 3-0 ke atas Switzerland di Rome, semalam, sekali gus mengesahkan mereka mara ke pusingan berikutnya dengan berbaki satu perlawanan.

Chiellini mengalami kecederaan otot kaki kiri, tetapi ujian hari itu mengesahkan situasi itu tidak serius, kata sumber terbabit.

Jika pertahanan Juventus yang memiliki 109 cap itu tidak dapat bermain menentang Wales pada Ahad ini, sumber itu berkata: "Usaha kini untuk memastikan dia pulih pada aksi berikutanya iaitu pada peringkat 16 pasukan terakhir."

Anak buah Roberto Mancini kini mendahului Kumpulan A selepas menewaskan Turki dan Switzerland.

Itali akan mara sebagai juara kumpulan jika tidak tewas kepada Wales yang layak ke separuh akhir Euro 2016, pada perlawanan di Stadio Olimpico nanti.

Bagi aksi pusingan kedua pada 26 Jun, mereka akan bermain di London atau Amsterdam bergantung sama ada muncul juara kumpulan atau tempat kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 1:00 AM