GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Ipoh: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menyelamatkan seekor gajah betina yang terperangkap dalam longkang dipercayai terjatuh di Batu 11, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Tugu Peringatan JRTB, di Gerik semalam.

Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff berkata pihaknya menerima makluman berkaitan haiwan liar yang terperangkap dalam longkang sedalam lebih 1.5 meter itu pada 8 pagi.

"Tujuh kakitangan Perhilitan telah digerakkan ke lokasi kejadian dan pelbagai usaha dijalankan sebelum itu bagi membawa keluar gajah liar dianggarkan berusia enam tahun itu termasuk menggunakan jengkaut bagi membuat lorong gajah untuk keluar.

"Kerja menyelamatkan haiwan ini mengambil masa lima jam dengan bantuan Jabatan Kerja Raya (JKR), polis dan syarikat konsesi Belati Wangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Yusoff berkata gajah betina itu disahkan dalam keadaan sihat sebelum dihalau ke hutan simpan berhampiran untuk kembali ke habitatnya.

Terdahulu, insiden gajah terperangkap dalam longkang tersebut tular di media sosial termasuk WhatsApp menerusi beberapa imej serta video memaparkan haiwan liar itu cuba diselamatkan pihak berkaitan.

Lokasi berkenaan merupakan antara laluan atau kawasan rayau gajah liar yang mendiami Hutan Simpan Amanjaya, Gerik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 7:18 PM