KAPTEN Itali, Giorgio Chiellini (kiri) berlatih bersama rakan sepasukan menjelang final menentang England di Wembley, malam esok. FOTO EPA
KAPTEN Itali, Giorgio Chiellini (kiri) berlatih bersama rakan sepasukan menjelang final menentang England di Wembley, malam esok. FOTO EPA
AFP

London: Kapten veteran, Giorgio Chiellini berkata, dia merasakan Itali datang ke Euro 2020 untuk menikmati kejohanan yang akan menjadi kenangan, apabila mereka turun ke final menentang England di Wembley, malam esok.

Itali melupakan kegagalan layak ke Piala Dunia 2018 dengan mencipta rekod 33 perlawanan tanpa kalah, termasuk enam perlawanan di Euro 2020 dan dua aksi pemanas badan.

"Saya memutuskan untuk kekal bersama pasukan kebangsaan kerana merasakan kami mampu melaksanakan tugas dengan baik dan sebaik kejohanan ini ditangguhkan, saya fikir pemain muda kami semakin matang dan akan menyerlah," kata bek tengah Juventus itu yang akan berusia 37 tahun bulan depan.

"Malah, sejak kami menentang Republik Czech dan menang 4-0 (dalam aksi persahabatan pada 4 Jun), saya rasa sesuatu yang istimewa dan ajaib dalam pasukan ini, dan kini kami hanya beberapa inci saja untuk menyempurnakan misi ini."

Chiellini membuat penampilan sulung bersama Itali pada 2004 dan bermain di edisi keempat Kejuaraan Eropah.

Dia berada dalam pasukan yang tewas 0-4 kepada Sepanyol di final edisi 2012 di Kiev, selepas menewaskan England menerusi penentuan sepakan penalti di suku akhir.

"Perlawanan begini mungkin tidak hadir lagi dalam karier pemain, jadi kami memang bertuah," kata Chiellini.

"Kami perlu meneruskan semangat apabila layak ke final dan perasaan sama turut dikongsi England.

"Kami perlu terus maju dan menikmati peluang ini. Apabila kami bertemu sebelum kejohanan, saya menyatakan kami perlu membayangkan kegilaan tetapi tetapi tenang.

"Keadaan itu yang membawa kami sejauh ini dan diharapkan ia akan membantu kami menang piala."

England memiliki kelebihan ketara apabila bermain di Wembley yang dijangka dipenuhi 65,000 penyokong sendiri dan hanya 7,000 Itali dibenarkan hadir.

Bagaimanapun, rekod menunjukkan pasukan tuan rumah sudah dua kali tewas di final kejohanan itu iaitu Perancis tewas di tangan Portugal di Paris di Euro 2016 manakala Portugal kalah di tangan Greece di final Euro 2004 di Lisbon.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 2:39 AM