KANE mengalami kecederaan belakang. FOTO Reuters
KANE mengalami kecederaan belakang. FOTO Reuters
Reuters

Munich: Penyerang Bayern Munich, Harry Kane akan terlepas perlawanan Bundesliga terakhir malam ini kerana kecederaan belakang, kata pengurus Thomas Tuchel sebelum perlawanan menentang Hoffenheim.

Kane berhadapan dengan masalah belakang menjelang perlawanan kedua separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid minggu lalu tetapi bermain dalam kesakitan.

Kemerosotan kecederaan kapten England itu dialami beberapa minggu sebelum Euro bermula pada 14 Jun di Jerman.

"Harry sedang dalam rawatan perubatan dengan doktor peribadinya. Dia tidak boleh pergi bersama kami ke Hoffenheim," kata Tuchel kepada pemberita.

"Ia sudah menjadi tanda tanya di Madrid, seperti yang anda mungkin perasan.

"Kami mencubanya dengan suntikan dan terapi, tetapi belakangnya kejang. Ia menjadi lebih teruk dan dia dapat merasakannya dalam pergerakan setiap hari. Tiada peluang untuk dia berlatih pun."

England diundi bersama Slovenia, Denmark dan Serbia di Euro.

Jurulatih Gareth Southgate akan menamakan skuad awalnya untuk kejohanan itu minggu depan.

Kane, yang juga terlepas perlawanan liga sebelumnya ketika Bayern menentang VfL Wolfsburg kerana kecederaan, menjaringkan 44 gol untuk semua pertandingan pada musim pertamanya di kelab Jerman itu, termasuk empat hatrik dalam Bundesliga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 6:52 PM