CHIELLINI (kiri) dan Kane akan mengetuai pasukan kebangsaan masing-masing. FOTO AFP
CHIELLINI (kiri) dan Kane akan mengetuai pasukan kebangsaan masing-masing. FOTO AFP
AFP

London: Dua bintang veteran Itali, Giorgio Chiellini dan Leonardo Bonucci mempunyai tugas berat mengekang gandingan penyerang 'darah muda' England, Harry Kane dan Raheem Sterling pada aksi final Euro 2020 awal pagi Isnin di London.

Dua pertahanan Juventus itu adalah pemain yang masih beraksi dan membarisi skuad Itali ketika tewas 0-4 di tangan Sepanyol pada Euro 2012.

Mereka berada dalam perancangan pengendali Itali, Roberto Mancini yang melakukan rombakan dalam skuad Azzurri selepas gagal layak beraksi di Piala Dunia 2018.

Chiellini dan Bonucci beraksi ketika tempoh terburuk Itali yang tewas kepada Sweden pada aksi playoff November 2017 sekali gus gagal layak ke Piala Dunia kali pertama selepas 60 tahun.

"Usaha membentuk semula pasukan ini sangat penting. Kami berjaya berubah daripada melalui kekecewaan kepada keinginan tinggi untuk menang," kata Chiellini yang juga kapten pasukan.

"Ia adalah impian yang sudah ditanam sejak tiga tahun lalu. Jurulatih menerapkannya di kepala setiap pemain sehinggalah ia menjadi kenyataan.

"Pada awalnya ketika jurulatih menyatakan bahawa kami perlu memikirkan untuk memenangi Kejuaraan Eropah, kami sangka beliau adalah seorang yang gila.

"Bagaimanapun kami akhirnya berjaya mara ke final dan kini menghampiri kemenangan."

Gandingan Chiellini dan Bonucci nyata mencetuskan impak besar di Juventus dan kini skuad Itali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 10:05 AM