Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain. FOTO BERNAMA
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain. FOTO BERNAMA
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Tiada rakyat Singapura antara tujuh individu direman berhubung insiden serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata kesemua suspek adalah individu tempatan direman tujuh hari bermula hari ini.

"Semua ditahan adalah warga tempatan, tiada (warga Singapura) seperti dilaporkan," katanya hari ini.

Terdahulu media melaporkan, seorang warga Singapura antara tujuh individu yang ditahan reman hari ini bagi membantu siasatan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram di sini, semalam.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Hidayatul Syuhada Samsudin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini.

Tujuh individu terbabit termasuk lima anggota keluarga suspek berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun yang ditahan semalam susulan serbuan dilakukan di kediaman keluarga suspek awal pagi semalam.

Turut direman, dua pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang hadir di balai polis sebelum kejadian, juga dipercayai mempunyai kaitan dalam kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 6:31 PM