LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Saya takkan tarik balik laporan polis. Biar ini menjadi pengajaran kepada semua orang terutama netizen."

Demikian kata penyanyi Naim Daniel susulan seorang lelaki ditahan di Perak, yang memuat naik komen berbaur ugutan bunuh terhadap ibu bapanya di Instagram.

Naim, 27, atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin berkata, dia akan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Negeri Sembilan esok bagi menambah keterangan.

"Terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengendalikan kes ini. Saya dimaklumkan lelaki itu sudah ditahan semalam.

"Cuma saya tak sempat ke IPD Nilai lagi, insya-Allah esok saya akan pergi.

"Saya akan serahkan kes ini sepenuhnya kepada PDRM termasuk urusan pendakwaan di mahkamah kelak," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, tindakan lelaki itu akhirnya memudaratkan diri kerana tidak berfikir panjang sebelum menulis sesuatu.

"Kalau nak turut serta sekali pun dalam kempen Blockout 2024 ini kena cakna dan ada ilmu. Bukan main cakap atau tulis saja.

"Akhirnya hanya akan memudaratkan diri. Sepatutnya fikir dahulu kesan di sebalik apa yang ingin dikongsi.

"Sebab itu saya cakap apa matlamat utama kempen ini. Tetapi apa yang terjadi adalah ramai yang saling melemparkan kata caci maki dan hina," katanya.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan seorang lelaki ditahan di Kamunting, Perak, semalam bagi membantu siasatan.

Superintendan Abdul Malik Hasim dilapor berkata, turut dirampas sebuah telefon bimbit bersama suspek yang berusia 24 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 6:18 PM