BARISAN pemain Itali sedang menjalani latihan. FOTO AFP
BARISAN pemain Itali sedang menjalani latihan. FOTO AFP
AFP

Rom: Kapten Giorgio Chiellini memberi amaran Itali mahu menjadikan kempen Euro 2020 untuk membuktikan bahawa mereka sudah kembali sebagai antara pasukan elit selepas tidak layak beraksi di Piala Dunia 2018.

"Keinginan untuk membina semula pasukan serta menghidupkan semula kejohanan sebagai antara pasukan elit," kata pertahanan Juventus berusia 36 tahun itu menjelang pertemuan dengan Turki awal pagi esok di Rom.

Itali gagal layak beraksi di Piala Dunia 2018 apabila tewas kepada Sweden pada aksi playoff dan hanya pernah sekali memenangi trofi Eropah itu pada 1968.

"Kekalahan di Milan ketika bertemu Sweden masih diingati. Kami tidak boleh melupakannya tetapi kami berjaya mengubah kekecewaan itu kepada keinginan dan semangat untuk melakukan yang terbaik.

"Kami tidak sabar untuk kembali beraksi dan melepaskan segala perasaan," kata Chiellini.

Chiellini adalah pemain paling berpengalaman Itali dengan 107 penampilan sepanjang 17 tahun mewakili negaranya.

Dia antara yang beraksi ketika Itali tewas kepada Sepanyol pada final Euro 2012 dan tidak pernah memenangi sebarang trofi dengan Azzurri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 8:18 AM