ADAM Adli  (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang Anugerah Belia Perdana  sempena Hari Belia Negara 2024 peringkat negeri Kelantan, hari ini. FOTO Rohana Idris
ADAM Adli (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang Anugerah Belia Perdana sempena Hari Belia Negara 2024 peringkat negeri Kelantan, hari ini. FOTO Rohana Idris
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memastikan rawatan terbaik diberikan kepada pemain bola sepak, Faisal Halim dan atlet kayak kebangsaan, Siti Nurul Masyitah Elias yang kini sedang menjalani proses penyembuhan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata, proses pemulihan kedua-dua atlet itu turut membabitkan rakan strategik iaitu Institut Sukan Negara (ISN) yang menawarkan rawatan pemulihan serta fisiologi.

"Setiap agensi berkaitan contohnya ISN serta rakan strategik lain sama-sama bantu pemulihan malah Faizal juga kita sudah tawarkan rawatan rehabilitasi dan fisiologi di ISN.

"KBS memang sangat mengambil berat akan keselamatan atlit dan kita sedaya upaya menawarkan prasarana terbaik dalam proses penyembuhan mereka," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Perasmian Hari Belia Negara 2024 peringkat negeri Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, hari ini.

Berhubung keadaan Faisal, 26, Adam Adli berkata, keadaan tonggak Harimau Malaya yang disimbah asid pada 5 Mei lalu itu belum pulih sepenuhnya dan memohon agar ruang untuk kesembuhan diberikan kepada pemain Selangor FC itu.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan oleh pihak berkuasa dan meminta semua pihak bersabar menunggu hasil siasatan itu.

"Kita beri ruang kepada beliau (Faisal) untuk kesembuhan dan masih terlalu awal untuk kita takrifkan sebagai pulih sepenuhnya.

"Memang setakat ini lawatan sangat terhad kepada pihak pengurusan beliau serta keluarga sahaja tapi kita ada berhubung dengan pengurus beliau yang memaklumkan perkembangan positif dari semasa ke semasa.

"Dari segi siasatan pula kita serahkan kepada pihak berkuasa dan saya pasti mereka akan buat kenyataan dalam masa terdekat," katanya.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama kerajaan negeri itu bermula sejak semalam dan menghimpunkan lebih 30,000 pengunjung terutama belia di seluruh Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 6:03 PM