AZHAR Khaiden (berbaju Melayu biru) memimpin solat jenazah ke atas jenazah anaknya, Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi di kediaman keluarga di Kampung Poh Tambahan, dekat Bidor, di sini, petang ini. Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri. FOTO Muhamad Lokman Khairi.
AZHAR Khaiden (berbaju Melayu biru) memimpin solat jenazah ke atas jenazah anaknya, Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi di kediaman keluarga di Kampung Poh Tambahan, dekat Bidor, di sini, petang ini. Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri. FOTO Muhamad Lokman Khairi.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Lenggong: Kerajaan Negeri Perak akan menyalurkan sumbangan awal sebanyak RM5,000 kepada keluarga Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar yang maut dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, semalam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, selain Allahyarham Ahmad Azza Fahmi, bantuan berjumlah sama akan turut diberikan kepada keluarga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berasal dari Perak yang terkorban dalam nahas helikopter di Pengkalan TLDM Lumut pada 23 April lalu.

"Kerajaan negeri akan menyumbang wang RM5,000 daripada peruntukan kerajaan negeri.

"Ia bukan sahaja untuk mangsa polis (insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram), tetapi kepada mangsa (nahas) helikopter yang jatuh, (juga) RM5,000 bagi setiap keluarga," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian program Karnival Agropelancongan Perak 2024 (PAC 2024) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Difahamkan Saarani akan mengunjungi kediaman Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi di kediaman keluarganya di Kampung Poh Tambahan, dekat Bidor, di sini, malam ini.

Dalam kejadian semalam. Ahmad Azza Fahmi terkorban dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor akibat ditetak oleh seorang lelaki bertopeng yang dipercayai anggota kumpulan militan Jemaah Islamiyah dalam jam 2.45 pagi.

Sementara, nahas helikopter TLDM pada 23 April lalu mengorbankan seramai 10 anggota TLDM, yang mana tiga daripada mereka berasal dari Perak iaitu Pegawai Waran II Mohd Shahrizan Mohd Termizi, 41, yang berasal dari Lekir, Manjung; Pegawai Waran II TNL, Nurfarahimi Mohd Suady dari Selama; dan Leftenan T Sivasutan yang berasal dari Sitiawan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 6:50 PM