PEGAWAI Perhilitan memeriksa peti sejuk yang digunakan untuk menyimpan daging pelbagai hidupan liar.
PEGAWAI Perhilitan memeriksa peti sejuk yang digunakan untuk menyimpan daging pelbagai hidupan liar.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Tawar menu hidangan eksotik 'mewah' antaranya nasi minyak atau beriani kepala rusa mencecah harga ratusan ringgit.

Itu antara aktiviti sebuah kedai makan di Sabak Bernam, Selangor, yang dikesan menyajikan masakan 'istimewa' menggunakan daging landak, rusa dan pelanduk kepada orang ramai.

Malah, difahamkan ada antara pelanggannya adalah golongan VIP dan selebriti yang sanggup membayar pada harga tinggi bagi merasai daging hidupan liar itu.

Kegiatan perniagaan premis itu bagaimanapun mengundang curiga pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia yang melakukan pemeriksaan mengejut di premis itu.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kegiatan itu dibongkar menerusi operasi Bersepadu Khazanah (OBK) diketuai pegawai Perhilitan, Celescoriano Razond bersama lapan anggota polis Pasukan Gerakan Am (PGA).

Menurutnya, dalam operasi jam 9.30 malam baru-baru ini, pihak Perhilitan menyerbu premis itu sebelum menahan enam individu berusia 40-an hingga 70-an untuk siasatan lanjut.

"Hasil pemeriksaan dilakukan di premis itu menemui pelbagai daging hidupan liar antaranya empat ekor pelanduk, sejumlah besar daging landak dan burung ruak-ruak disimpan di dalam plastik.

"Kesemua daging hidupan liar dilindungi itu ditemui berada di dalam peti sejuk. Suspek gagal mengemukakan lesen atau permit yang membolehkannya menyimpan daging hidupan liar itu," katanya.

Menurutnya, kegagalan suspek menunjukkan bukti daging hidupan liar itu diperolehi memungkinkan ia diburu secara haram atau diperolehi daripada pemburu haram.

"Semua daging hidupan liar itu disita termasuk dua peti sejuk dianggarkan bernilai lebih RM2,000.

"Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis sementara kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010," katanya.

Difahamkan perniagaan premis itu turut mendapat sambutan dan tular di pelbagai platform media sosial sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 7:10 PM