JERMAN mahu menutup episod duka menjelang saingan Euro 2020. FOTO AFP
JERMAN mahu menutup episod duka menjelang saingan Euro 2020. FOTO AFP
AFP

Herzogenaurach: Ketika beliau sedang mempersiapkan diri untuk kejohanan terakhir selepas 15 tahun menjadi ketua jurulatih Jerman, Joachim Loew mendakwa bahawa beliau melihat skuadnya mampu untuk mengetepikan kegagalan lalu.

Loew yakin tugasnya sebagai jurulatih dilakukan dengan penuh berhati-hati untuk berdepan segala halangan bakal dihadapi pasukannya.

Beliau membawa Jerman meraih kejayaan di Piala Dunia Brazil 2014 namun usaha untuk mempertahankan kejuaraan itu berakhir dengan episod memalukan selepas mereka menamatkan saingan di kedudukan terakhir peringkat kumpulan.

Selepas itu mereka menduduki tangga terbawah kelayakan Liga Negara-Negara UEFA.

November lalu, Jerman dimalukan Sepanyol selepas kalah 0-6 juga di Liga Negara-Negara UEFA dan Mac lalu tumpas 1-2 di laman sendiri kepada Macedonia Utara bagi saingan kelayakan Piala Dunia.

Mereka tergelincir ke tangga ke-12 ranking dunia dan diundi di Euro 2020 dalam kumpulan yang menempatkan penyandang juara dan juara Piala Dunia, Perancis.

Jerman akan memulakan aksi menentang Perancis pada 16 Jun di Munich, sebelum menanti kunjungan Portugal (20 Jun) dan menutup aksi peringkat kumpulan berdepan Hungary (24 Jun).

Loew memuji Perancis sebagai sebuah pasukan paling fleksibel di dunia dengan mempunyai pemain berkemahiran individu luar biasa dan juga mengakui Portugal mempunyai rangkaian serangan hebat.

"Sekiranya tumpuan anda tidak diberikan sepenuhnya, mereka akan memanfaatkannya tanpa belas kasihan," katanya.

Bagaimanapun, Loew yakin bahawa pasukan kali ini lebih baik ketika berlakunya bencana pada 2018.

"Suasananya sangat berbeza. Memang ada sedikit beban yang digalas dalam pasukan ini. Tapi saya tidak merasainya sekarang.

"Sebaliknya, suasana dalam pasukan sangat baik. Semua pemain mempunyai keazaman tinggi, mereka mahu meraih kejayaan," kata Loew

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 9:14 AM