SKUAD Jerman memilih Latvia untuk aksi pemanas badan sebelum bermulanya Euro. FOTO AFP
SKUAD Jerman memilih Latvia untuk aksi pemanas badan sebelum bermulanya Euro. FOTO AFP
AFP

Berlin: Jerman akan menanti kunjungan Latvia 7 Jun depan dalam satu aksi persahabatan sebagai persiapan menjelang saingan Euro.

Menurut Persatuan Bolasepak Jerman, pasukan bimbingan Joachim Loew itu akan berdepan Latvia di Duesseldorf lapan hari sebelum Jerman menentang juara Piala Dunia, Perancis dalam perlawanan pembukaan peringkat kumpulan di Munich.

Perlawanan persahabatan akan menjadi aksi prakejohanan Jerman di kem latihan dan satu lagi perlawanan pemanas badan juga bakal diumumkan selepas ini.

Rabu lalu Loew mengesahkan beliau akan meletak jawatan sebagai ketua jurulatih selepas Euro yang berlangsung dari 11 Jun hingga 11 Julai.

Jerman juga diundi bersama Portugal dan Hungary dalam Kumpulan F.

Berdasarkan kedudukan ranking dunia, Jerman berada di tempat ke-13 selepas dibelasah Sepanyol 6-0 November lalu dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA, manakala Latvia menghuni tempat ke-136.

Semua perlawanan di Jerman dilangsungkan tanpa penonton berikutan pandemik Covid-19.

Pengarah Pasukan Jerman, Oliver Bierhoff berharap penonton kembali dibenarkan ke stadium pada awal Jun

"Kami berbesar hati jika dapat membenarkan penonton ke stadium, terutama sekali perlawanan terakhir sebelum bermulanya Euro.

"Ia akan memberikan pembakar semangat buat kami semua sebelum memulakan kempen di Euro," kata Bierhoff.

Jerman juga akan beraksi menentang Iceland, Romania dan Macedonia Utara dalam saingan kelayakan Piala Dunia pada hujung Mac.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 9:14 AM