LOEW bersama trofi Piala Dunia 2014. FOTO AFP
LOEW bersama trofi Piala Dunia 2014. FOTO AFP
AFP

Berlin: Ketua jurulatih skuad Jerman yang menjuarai Piala Dunia, Joachim Loew akan meletak jawatan selepas berakhir kejohanan Eropah pada Julai, menurut Persekutuan Bolasepak Jerman (DFB) hari ini.

Loew bakal meninggalkan pasukan dengan kontraknya masih berbaki setahun yang ditandatangani sehingga pusingan akhir Piala Dunia 2022 di Qatar.

Dalam kenyataannya, Loew berkata dia sangat berbangga dan berterima kasih selepas hampir 15 tahun menjadi jurulatih kebangsaan dan tetap bermotivasi tinggi untuk menghadiahkan kejayaan terakhir di kejohanan Eropah yang bermula 11 Jun-11 Julai.

Fritz Keller, Presiden DFB berkata, keputusan Loew memberikan mereka masa secukupnya untuk mencari pengganti.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dan pengendali Bayern Munich, Hansi Flick yang menjadi pembantu Loew ketika Jerman menjuarai Piala Dunia 2014 menjadi pilihan awal untuk tugas itu.

Loew berjanji menjulang Jerman di kejohanan Eropah tetapi mereka berdepan tugas sukar apabila diundi dalam satu kumpulan bersama juara dunia Perancis dan juara bertahan Portugal.

"Saya masih bersemangat, bertenaga dan bercita-cita,'' tegas Loew. "Saya akan cuba yang terbaik untuk membuatkan penyokong kami gembira dan berjaya di kejohanan ini.''

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 9:33 PM