JURULATIH Jerman, Joachim Loew meninggalkan padang selepas pasukannya tewas 0-2 di tangan England di Wembley, semalam. FOTO EPA
JURULATIH Jerman, Joachim Loew meninggalkan padang selepas pasukannya tewas 0-2 di tangan England di Wembley, semalam. FOTO EPA
AFP

London: Selepas 15 tahun menjadi jurulatih, Joachim Loew meninggalkan Jerman dalam keadaan pasukan itu hilang keyakinan dan penggantinya, Hansi Flick berdepan tekanan untuk mencipta kebangkitan menjelang Piala Dunia 2022 di Qatar.

Jerman tersingkir selepas tewas 0-2 kepada England pada aksi pusingan kedua Euro 2020 di Wembley, semalam, yang menjadi perlawanan ke-198 dan terakhir dikendalikan Loew.

Sejak mengambilalih pada 2006, dia merekodkan 124 kemenangan, 40 seri dan 34 tewas iaitu agak mengagumkan.

Di sebalik kekecewaan di bilik persalinan Jerman di Wembley, kekalahan terakhir itu sekali lagi berpunca akibat mereka gagal menyempurnakan peluang.

Loew menjulang pasukan itu memenangi Piala Dunia 2014 di Brazil termasuk membelasah tuan rumah 7-1 di separuh akhir, tetapi kegemilangannya dicemari kedudukan tercorot peringkat kumpulan di Piala Dunia 2018 di Russia, yang terus menghantui Jerman.

"Dalam tempoh 15 tahun ini, banyak perkara positif dan menarik," kata Loew.

"Kami membangun dengan baik, memenangi Piala Dunia 2014 serta Piala Konfederasi 2017 menerusi pasukan muda.

"Ada detik indah yang memang sukar dilupakan," kata jurulatih berusia 61 tahun itu.

Loew mengakui, pasukannya mengalami masalah sejak 2018 dan melalui banyak tempoh sukar termasuk dibelasah Sepanyol 6-0 oleh Sepanyol, November lalu, sehingga menimbulkan keputusannya untuk meletak jawatan.

Pengganti yang pernah menjadi pembantunya sebelum ini, Hansi Flick, mewarisi pasukan perlu kembali berada di landasan untuk layak ke Piala Dunia 2022, selepas tewas di tempat sendiri di tangan pasukan kerdil, Macedonia Utara, Mac lalu.

Pada ketika Thomas Mueller melepaskan peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan di Wembley, Jerman kebelakangan ini berdepan kesukaran di hujung prestasi.

Kemenangan 4-2 ke atas Portugal di peringkat kumpulan adalah petanda prestasi tidak menentu pasukan yang menguasai perlawanan, tetapi gagal menjaringkan gol.

Padahal Jerman memiliki pemain berbakat seperti Joshua Kimmich dan Leon Goretzka yang mampu melonjak ke kemuncak prestasi apabila mereka menjadi tuan rumah Kejuaraan Eropah 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 9:20 PM