PEMAIN tengah Sweden, Dejan Kulusevski (kanan) cuba melepasi pertahanan Armenia, Taron Voskanyan dalam aksi persahabatan sebelum saingan Euro 2020. FOTO AFP
PEMAIN tengah Sweden, Dejan Kulusevski (kanan) cuba melepasi pertahanan Armenia, Taron Voskanyan dalam aksi persahabatan sebelum saingan Euro 2020. FOTO AFP
AFP

Solna: Sweden akan menyertai Euro 2020 dengan semangat positif selepas berjaya mencatat kemenangan 3-1 ke atas Armenia tatkala tanpa kehadiran Zlatan Ibrahimovic yang mengalami kecederaan.

Pasukan bimbingan Janne Andersson akan memulakan kempen Euro 2020 menentang Sepanyol 15 Jun dan juga perlu berdepan Slovakia serta pasukan yang dipimpin Robert Lewandowski, Poland dalam Kumpulan E.

Mereka berjaya menguasai saingan di Arena Friends selepas hasil jaringan yang disumbangkan Emil Forsberg, Marcus Danielson dan Marcus Berg.

Forsberg membuka jaringan pada minit ke-16 apabila sepakan percuma yang diambilnya berjaya menumpaskan penjaga gol Armenia, David Yurchenko.

Pemain tengah RB Leipzig itu terbabit dalam gol kedua 11 minit sebelum rehat apabila sepakan percuma yang diambilnya ditanduk Danielson dan terkena pertahanan lawan sebelum menerjah ke jaring.

Sebastian Larsson terlepas peluang menambah jaringan apabila sepakan penaltinya dua minit kemudian berjaya diselamatkan dan pasukan pelawat meledak gol saguhati selepas sejam perlawanan berlangsung melalui Vahan Bichakhchyan.

Bagaimanapun, Berg mengesahkan kemenangan Sweden ketika aksi berbaki lima minit selepas menyempurnakan hantaran Robin Quaisson.

Selepas kembali ke pangkuan skuad kebangsaan pada hujung Mac apabila hampir lima tahun bersara, Ibrahimovic sekali lagi menunjukkan minat untuk beraksi di kejohanan antarabangsa.

Bagaimanapun, harapan Ibrahimovic untuk beraksi di Euro tidak kesampaian apabila pertengahan Mei lalu kelabnya, AC Milan mengumumkan dia mengalami kecederaan lutut kiri dan tidak perlu berehat sekurang-kurangnya enam bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 9:06 AM