RODRIGO meraikan jaringan gol penyeri ketika menentang Sweden.
RODRIGO meraikan jaringan gol penyeri ketika menentang Sweden.
Reuters

SEPANYOL yang menampilkan aksi tidak menentu layak ke Euro 2020 ketika jaringan saat akhir Rodrigo memadamkan jaringan awal Marcus Berg untuk Sweden dengan keputusan seri 1-1 dalam Kumpulan F awal pagi tadi.

Keputusan itu meletakkan Sepanyol di tangga teratas dengan 20 mata dan mengesahkan tempat sebagai dua pasukan teratas manakala Sweden di tangga kedua dengan 15 mata dan Romania ketinggalan satu mata di tangga ketiga.

Biarpun seri dengan Norway dan Sweden dalam dua perlawanan terakhir mereka, ketika berkunjung ke Scandinavia, masih banyak yang perlu ditangani Sepanyol jika mahu meletakkan diri mereka sebagai pasukan pilihan dalam kejohanan tahun depan.

Tatkala kapten Sergio Ramos digantung kerana layangan kad kuning kedua pada perlawanan menentang Norway, Sepanyol bermula hebat dengan melakukan hantaran pantas dan cuba mencari ruang dalam pertahanan Sweden.

Thiago Alcantara sepatutnya meletakkan pelawat di depan tetapi selepas cuba memperdayakan penjaga gol, dia gagal mengawal bola dan penjaga gol melakukan sepakan keluar.

Percubaan pemain tengah Rodri selepas itu berjaya diselamatkan dan mereka memerlukan masa sebelum memecahkan kebuntuan, namun dengan aksi hebat Robin in Olsen, Sweden mula memperkemaskan permainan dan mula menguasai perlawanan.

Berg meletakkan Sweden di depan pada awal separuh masa kedua selepas tandukan awalnya berjaya diselamatkan, seperti mana rembatan Emil Forsberg, tetapi Berg menanduk masuk bola dari jarak dekat pada percubaan keduanya.

Penyokong tuan rumah semakin riuh menjelang wisel terakhir namun Rodrigo membuatkan mereka terdiam dengan menyambut bola hasil sepakan sudut dan menyempurnakannya untuk melayakkan Sepanyol ke pusingan akhir.

“Saya sangat gembira, pemain memang hebat dan kami berdepan saingan yang kuat. Ia sukar bagi kami tetapi kami betulkan apa yang perlu diperbetulkan,” kata jurulatih Sepanyol Roberto Moreno.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 9:13 AM