POLAND layak ke Piala Dunia selepas menewaskan Sweden. -FOTO Reuters
POLAND layak ke Piala Dunia selepas menewaskan Sweden. -FOTO Reuters
AFP

Chorzow, Poland: Robert Lewandowski menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa kedua bagi memastikan Poland menempah tempat ke pusingan akhir Piala Dunia dengan kemenangan 2-0 ke atas Sweden pada perlawanan play-off, awal pagi tadi.

Selepas kapten Poland itu menjaringkan penalti, Piotr Zielinski memastikan kedudukan Poland bertambah selesa dengan jaringan hebat buat tuan rumah mendahului perlawanan di Chorzow.

"Kami berdepan dengan banyak masalah sebelum perlawanan ini," kata Lewandowski.

"Ramai pemain kami mengalami kecederaan termasuk saya. Saya mempunyai masalah dengan lutut saya," katanya menamatkan perlawanan Khamis lalu dengan keputusan seri 1-1 dengan Scotland.

"Kami bergelut, tapi sekarang kami boleh meraikannya. Saya amat bangga dan gembira."

Penyerang Veteran, Zlatan Ibrahimovic dimasukkan pada 10 minit terakhir untuk Sweden namun penyerang berusia 40 tahun itu gagal untuk mengubah keputusan dan terlepas membuat penampilan ketiga di Piala Dunia.

"Setiap orang kecewa. Ia adalah normal apabila tewas," kata Ibrahimovic.

"Semua orang mahu bermain di Piala Dunia, tapi malangnya ia tidak akan berlaku."

Penjaga gol Juventus Wojciech Szczesny memainkan peranan penting dalam kemenangan Poland apabila menyelamatkan percubaan perancang utama Sweden, Emil Forsberg pada babak pertama dan kedua.

Poland akan menyertai undian Jumaat ini bagi menentukan kumpulan di Piala Dunia yang akan bermula dari 21 November hingga 18 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 7:55 AM