SOLEEN turut menjadi Ahli Jawatankuasa Bola Sepak Wanita AFC sejak 2019.  FOTO Soleen Zou’bi
SOLEEN turut menjadi Ahli Jawatankuasa Bola Sepak Wanita AFC sejak 2019. FOTO Soleen Zou’bi
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad bola sepak wanita negara bakal berwajah baharu apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggunakan khidmat jurulatih import bagi mengendalikan pasukan terbabit.

Menerusi mesyuarat keenam Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2021-2025 baru-baru ini menyaksikan badan induk bola sepak itu melantik Ketua Unit Bola Sepak Wanita dan Penolong Pengarah Teknikal di Persatuan Bola Sepak Jordan (JFA) Soleen Al-Zou'bi sebagai ketua jurulatih skuad wanita negara. Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM Datuk Suraya Yaacob berkata, sentuhan Soleen diharap dapat memastikan skuad bola sepak wanita kebangsaan memberikan saingan terbaik di pentas antarabangsa.

"Saya sendiri secara peribadi sudah mengenali beliau kerana saya dan Soleen adalah Ahli Jawatankuasa Bola Sepak Wanita AFC sejak dari tahun 2019.

"Sudah tentu ini satu langkah besar buat bola sepak wanita negara kerana kita telah mengambil jurulatih dari luar mempunyai latar belakang agak baik sebagai pengendali baharu skuad kebangsaan selepas hanya menggunakan jurulatih tempatan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Soleen bukan saja bertindak sebagai ketua jurulatih skuad bola sepak wanita, malah beliau juga akan menggalas tugas selaku Ketua Unit Wanita FAM bagi merancang program berkaitan bola sepak wanita di negara ini," katanya.

Selain itu, beliau berkata, kehadiran Soleen diharap mampu untuk melonjakkan bola sepak wanita di negara ini terutama dalam memastikan skuad kebangsaan dapat memberikan saingan terbaik di pentas antarabangsa.

"Selain merancakkan lagi minat remaja perempuan dan wanita kepada sukan bola sepak yang sekali gus dapat memperbesarkan lagi kumpulan bakat berpotensi," katanya.

Mengikut rekod, pada musim depan pasukan wanita kebangsaan akan menghadapi Sukan Sea di Kemboja, Kelayakan Olimpik 2024 dan Kejuaraan Wanita AFF 2023.

Mereka juga akan menyertai Kelayakan Piala Asia Wanita bawah 20 tahun (B-20) 2024, Kejuaraan Wanita (B-19) AFF 2023, Kelayakan Piala Asia Wanita B-17 2024 serta Kejuaraan Wanita B-16 AFF 2023.

Di peringkat domestik pula, FAM akan menjalankan Liga Wanita Nasional (LWN) dan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) bagi musim 2023, selain bengkel berkaitan bola sepak wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 6:51 PM