ANTARA penerima bantuan di Jakarta. FOTO mancity.com
ANTARA penerima bantuan di Jakarta. FOTO mancity.com
Agensi

London: Bintang Manchester City, Ilkay Gundogan dengan kerjasama penyokong kelab gergasi Inggeris itu di Indonesia memberi bantuan 3,000 pek makanan kepada golongan memerlukan di negara terbabit.

Sesuai dengan semangat Ramadan yang menggalakkan umatnya membuat kebajikan, pemain Jerman berusia 30 tahun itu kali ini memilih Indonesia yang memiliki penduduk Muslim paling ramai di dunia untuk berbakti dengan rumah anak yatim di Jakarta antara penerima bantuan.

Gundogan turut menghantar hadiah termasuk jersi City tertera nombor lapan manakala kumpulan penyokong kelab di Indonesia bekerjasama mengedarkan makanan dan cenderahati.

KANAK-kanak bersama jersi Gundogan. FOTO mancity.com
KANAK-kanak bersama jersi Gundogan. FOTO mancity.com

Pemain tengah yang menikmati musim gemilang di Stadium Etihad sebelum ini kerap terbabit kerja amal dengan memberi bantuan kepada golongan melarat, menyumbang peralatan kepada petugas kesihatan dan warga emas sekitar rumah keluarganya di Gelsenkirchen ketika pandemik koronavirus.

Selain itu, Gundogan turut melelong barangan peribadi bagi mendapatkan dana untuk tujuan kebajikan di Manchester.

Dia juga melancarkan kempen tanda sokongan bagi membantu kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang bertarung dengan penyakit tulang sukar diubati awal bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 10:45 AM