JOACHIM LOEW
JOACHIM LOEW
AFP

JURULATIH skuad Piala Dunia Jerman, Joachim Loew membidas gelagat penyokong yang mengejek bintang Manchester City, Ilkay Gundogan ketika aksi pershabatan menentang Arab Saudi yang dimenangi mereka dengan keputusan 2-1.

Skuad Jerman menamatkan kemarau tanpa menang dalam lima aksi persahabatan selepas Timo Werner menjaringkan gol sebelum ditambah oleh gol sendiri oleh Omar Hawsawi. Gol pelawat disumbangkan oleh Taisir Al-Jassim.

Begitupun Loew berang dengan ejekan penyokong Jerman ke atas Gundogan sejurus dia memasuki padang pada babak kedua.

“Sebenarnya ejekan ke atas pemain kebangsaan tidak membantu sesiapa,” kata Loew kepada stesen penyiar  ARD.

“Apa yang Ilkay perlu buat sekarang?

“Dia mengambil gambar (bersama Presiden Turki), okay, tetapi dia sudah mengakui kepada wartawan bahawa dia setia dan menyokong Jerman. Topik itu sepatutnya diketengahkan.”

Gundogan mencetus keributan politik di Jerman bulan lalu apabila dia bersama bintang Arsenal, Mesut Ozil, menemui Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan menyerahkan sehelai jersi Manchester City dengan tulisan ‘my president’ dalam satu majlis.

Gundogan dan Ozil mengakui pertemuan dengan Erdogan ‘bukan tujuan politik’ dan Ozil, yang tidak diturunkan pada aksi menentang Arab Saudi itu memang berasal dari keturunan Turki.

Loew merah padam sejurus memberi isyarat kepada penyokong di Leverkusen supaya memberikan tepukan kepada Gundogan tetapi ia tidak mendapat sambutan sebaliknya pemain itu diejek dan diboo peminat.

Terdahulu, Pengarah Pasukan Kebangsaan Jerman, Oliver Bierhoff membidas media Jerman yang tidak putus-putus menimbulkan isu pertemuan dengan Erdogan itu setiap kali berdepan sesi sidang media.

“Kamu setiap hari menyebut perkara itu, kerana kamu tidak ada topik lain untuk diperkatakan,” kata Bierhoff.

“Kamu boleh bertanyakan soalan, tetapi kamu perlu menerima apabila seseorang berkata, saya tidak lagi memperkatakan hal itu lagi.”

Jerman yang akan melayan Mexico dalam aksi pembukaan Piala Dunia Russia 2019 di Moscow pada 17 Jun  menguasai perlawanan menentang Arab Saudi namun kelekaan bentang membolehkan pelawat membolosi gol lewat permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Jun 2018 @ 10:02 AM