GUNDOGAN enggan ambil mudah cabaran Schalke.  - FOTO Agensi
GUNDOGAN enggan ambil mudah cabaran Schalke. - FOTO Agensi
AFP

WALAUPUN disingkirkan Schalke 04 ketika berusia lapan tahun, Ilkay Gundogan tetap teruja kembali ke Gelsenkirchen bersama Manchester City dalam aksi pertama peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini.

Ketika skuad Pep Guardiola menduduki tangga kedua Liga Perdana, Schalke berada di atas zon penyingkiran dan menduduki tangga ke-14 Bundesliga sekali gus keputusan perlawanan boleh dijangka.

Seperti pemain sayap Jerman Leroy Sane, Gundogan, 28, memulakan karier di Akademi Schalke tetapi disingkirkan selepas hanya semusim ketika zaman kanak-kanak. Bagaimanapun tiada niat balas dendam dalam aksi di Veltins Arena.

"Saya memaafkan mereka tetapi tidaklah selalu,” kata Gundogan kepada akhbar Jerman Kicker.

"Ketika itu saya mempunyai masalah fizikal dan saya tidak aktif dalam semua sukan selama setengah tahun, jadi saya disingkirkan.

"Tiga atau empat tahun kemudian, Schalke cuba hubungi saya semula tetapi saya hilang minat. Saya hanya mahu bermain bola sepak bersama rakan baik daripada beraksi dengan akademi.”

Gundogan kemudiannya beraksi bersama kelab tempatan Hessler, menyertai skuad belia Bochum sebelum berpindah ke kelab Bundesliga, Nuremberg. Dia beraksi bersama Borussia Dortmund selama lima tahun sebelum menyertai City pada 2016.

Di atas kertas, City dijangka tiada hadapi masalah tetapi Gundogan tetap tidak mahu mengambil mudah cabaran Schalke.

"Bahaya tetap ada kerana semua orang menganggap Schalke tiada peluang dan walaupun beraksi di tempat lawan, kami jangka mampu mendominasi perlawanan,” kata Gundogan.

"Schalke tiada tekanan sebaliknya kami yang perlu bijak menanganinya.”

Kali terakhir Schalke mara ke suku akhir Liga Juara-Juara pada 2011 tetapi disekat Manchester United pada separuh akhir. Ketika itu legenda Real, Raul turut beraksi bersama Schalke.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 11:14 AM