IlKAY Gundogan. FOTO Agensi
IlKAY Gundogan. FOTO Agensi
Agensi

London: Muka nampak ganas namun hatinya sangat baik. Begitulah watak sebenar bintang Manchester City, Ilkay Gundogan yang mempunyai sikap murah hati untuk melakukan kerja-kerja amal.

Pemain beragama Islam yang beraksi di posisi tengah itu pernah bekerjasama dengan penyokong kelab gergasi Inggeris itu di Indonesia bagi memberi bantuan 3,000 pek makanan kepada golongan memerlukan di negara terbabit pada 2021.

Sesuai dengan semangat Ramadan yang menggalakkan umatnya membuat kebajikan, pemain Jerman itu memilih Indonesia yang memiliki penduduk Muslim paling ramai di dunia untuk berbakti dengan rumah anak yatim di Jakarta antara penerima bantuan.

Gundogan turut menghantar hadiah termasuk jersi City tertera nombor lapan manakala kumpulan penyokong kelab di Indonesia bekerjasama mengedarkan makanan dan cenderahati.

Gundogan sebenarnya kerap terbabit dengan kerja amal termasuk memberi bantuan kepada golongan melarat, menyumbang peralatan kepada petugas kesihatan dan warga emas sekitar rumah keluarganya di Gelsenkirchen ketika pandemik Covid-19.

Selain itu, Gundogan turut melelong barangan peribadi bagi mendapatkan dana untuk tujuan kebajikan di Manchester.

Dia juga melancarkan kempen tanda sokongan bagi membantu kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang bertarung dengan penyakit tulang sukar diubati.

Mungkin kerana sifat pemurahnya itu, sehingga kini Gundogan masih kekal menjadi watak penting untuk City serta skuad kebangsaan Jerman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 11:03 AM