Pemain Perak FC menjalani latihan. FOTO Perak FC
Pemain Perak FC menjalani latihan. FOTO Perak FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Sejauh mana Perak FC mampu bertahan dalam mengharungi baki saingan Liga Super tanpa sebarang dana atau sumber pendapatan yang kukuh?

Situasi terbabit menimbulkan persoalan terhadap Perak FC ketika ini apabila sebenarnya pasukan terbabit hanyalah mengharapkan sumbangan daripada kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji termasuk beberapa pembayaran lain sejak awal saingan Liga Super 2021.

Namun, segalanya hanyalah sementara saja apabila wang ihsan kerajaan negeri yang diberikan kepada pasukan terbabit baru-baru ini untuk menyelesaikan tunggakan gaji adalah talian hayat terakhir sekali gus memberi bayangan bahawa situasi sama akan berulang tidak lama lagi.

Menurut sumber dalaman pasukan terbabit memaklumkan bahawa sehingga kini tiada syarikat swasta tampil untuk membantu daripada segi penajaan atau mengambil alih saham pasukan terbabit.

Beliau berkata, tindakan pengurusan yang lambat membuka peluang kepada syarikat lain untuk memiliki saham pasukan boleh dikatakan memakan diri apabila sekarang ini terpaksa menghebahkan kepada umum untuk 'menjual' skuad The Bos Gaurus.

"Sepatutnya penjualan saham pasukan dibuka awal musim lalu sebelum saingan liga berlangsung dan sudah pasti mudah untuk menyusun beberapa perkara termasuk kewangan serta pengurusan.

"Jika dilihat situasi sekarang, memang tiada lagi syarikat swasta atau individu mahu mengambil alih Perak FC. Sekarang ini perlu tunggu jika ada rezeki seperti Melaka United FC yang ada syarikat swasta mahu ambil alih maka baguslah untuk Perak FC.

"Saya juga dikhabarkan bantuan yang diberikan baru-baru ini kemungkinan besar adalah yang terakhir dan pengurusan dinasihatkan mencari alternatif lain seterusnya tidak bergantung lagi kepada kerajaan negeri," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC Rizal Ali Naizali ketika dihubungi Arena Metro mengesahkan menerima dana daripada kerajaan negeri kira-kira RM4 juta untuk menyelesaikan tunggakan gaji membabitkan Februari dan Mac.

"Berkaitan ada syarikat mahu mengambil alih atau berminat terhadap Perak FC, perkara terbabit akan dilihat nanti dan saya tidak boleh mengulas mengenai perkara itu.

"Ketika ini, memang Perak FC ada perancangan jangka masa pendek dan panjang untuk menyelesaikan masalah membabitkan kewangan pasukan bagi mengharungi baki saingan Liga Super," katanya.

Terdahulu, Perak FC berdepan kegagalan membayar gaji barisan pemainnya selama dua bulan dan mereka boleh meninggalkan kelab itu menerusi pembatalan kontrak dengan mengaktifkan klausa 9.7.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 4:57 PM