NUR Azmi (tengah) ketika sidang media di Bandar Hilir, hari ini. FOTO NAZRI ABU BAKAR
NUR Azmi (tengah) ketika sidang media di Bandar Hilir, hari ini. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Persatuan Bolasepak Melaka United (Musa) membayangkan bakal mengambil alih dan menyusun semula pasukan bola sepak negeri itu bermula musim 2023.

Presiden Musa, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, pengambilalihan itu bagi memastikan skuad Hang Tuah tidak lagi terkubur susulan kemelut gaji yang berlaku dengan pengurusan ketika ini sehingga pasukan itu dibatalkan slot ke Piala Malaysia.

Beliau berkata, perkara terbabit bakal dibincangkan secara terperinci bersama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dalam masa terdekat.

Menurutnya, Mohd Ali memandang serius perkara yang berlaku dan akan mengadakan pertemuan bersama pihak Kenteam Sdn Bhd untuk mencari penyelesaian terbaik.

"Bagi musim 2023, saya akan melantik peguam untuk menyediakan perjanjian dengan memastikan Musa menjadi pemilik 40 peratus saham dan baki 60 peratus lagi akan dipecahkan kepada empat syarikat swasta baharu.

"Kami akan berbincang secara terperinci bersama Exco dan semua yang terbabit sama ada akan menukar nama baharu untuk pasukan bola sepak Melaka tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Kongres Luar Biasa Musa di Banda Hilir, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden Musa, Datuk Mohd Yusoff Mahadi; Naib Presiden Musa, Datuk Khairi Anuar Ahmad dan barisan Jawatankuasa Musa.

Pada kongres terbabit, Nur Azmi turut mengumumkan Datuk Karim Yaacob sebagai Setiausaha Agung Musa yang baharu selepas peletakan jawatan Ahmad Roslee Hamzah.

Sementara itu, mengenai isu tunggakan gaji pemain dan pegawai MUFC, Nur Azmi berkata, pihaknya meminta Kenteam Sdn Bhd untuk menyelesaikan segala tunggakan memandangkan Musa sama sekali tidak terbabit berkaitan aspek pembayaran.

Perkara itu, katanya, termaktub dalam klausa yang ditandatangani Datuk Seri Justim Lim ketika mengambil alih pasukan itu pada 14 Ogos 2020.

"Dalam perjanjian KenTeam Sdn Bhd sewaktu mengambil alih MUFC, nama Musa tidak tertera, sebaliknya atas nama seorang individu dengan saham 30 peratus manakala 70 peratus milik syarikat terbabit.

"Sebenarnya, bila saya lihat surat perjanjian yang ditandatangani itu banyak perkara berkaitan pasukan tidak membabitkan Musa. Ini yang menjadi pelik kerana perjanjian itu sangat longgar.

"Sehubungan itu, untuk akan datang, kami akan cuba untuk menjadi lebih 'transparent' supaya tiada lagi isu berulang timbul membabitkan pasukan Melaka," katanya.

Apapun dia yakin isu seperti itu tidak akan berulang lagi dalam masa sama memastikan Melaka akan layak beraksi di Liga Super 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 7:21 PM