PENGANALISIS sukan tempatan Mohd Sadek Mustafa. -FOTO NSTP
PENGANALISIS sukan tempatan Mohd Sadek Mustafa. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Mana hilangnya syarikat besar dan taikun di negara ini untuk menaja atau sekurang-kurangnya membantu pasukan Liga Malaysia (Liga-M) meneruskan 'kelangsungan' dalam arena bola sepak tanah air?

Persoalan terbabit timbul apabila beberapa pasukan Liga Super mengalami 'penyakit' lama iaitu tunggakan gaji yang dipercayai sudah mencecah jutaan ringgit.

Penganalisis sukan tempatan Mohd Sadek Mustafa berkata, setiap kali pasukan Liga Super menghadapi tunggakan gaji sudah pastinya penyokong bola sepak tanah air akan menuding jari kepada kerajaan negeri kerana tidak menghulur bantuan bagi menyelesaikan masalah terbabit.

Namun, hakikatnya kelab bola sepak di negara ini seharusnya mendapatkan 'bantuan' daripada syarikat besar atau taikun untuk menaja seterusnya memiliki pasukan Liga Super sekali gus mampu menyelesaikan tunggakan gaji atau masalah kewangan.

"Kita boleh lihat kelab luar negara yang dimiliki oleh orang kaya atau syarikat terkemuka untuk memastikan pasukan terbabit mampu bersaing dan tidak mengalami sebarang masalah termasuklah membabitkan tunggakan gaji.

"Lain pula di negara ini dengan meminta bantuan kerajaan negeri atau pihak tertentu apabila mengalami tunggakan gaji… Sampai bila keadaan ini akan berlarutan atau menyelesaikan masalah.

"Sepatutnya, syarikat besar atau taikun membeli kelab di Liga Super namun sebaliknya berlaku dan itu juga seolah ada sesuatu menghalang mereka berbuat demikian," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, ketika ini dua pasukan Liga Super iaitu Kuala Lumpur City (KL City) FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC berdepan tunggakan gaji sehingga mencecah empat bulan.

Malah, beberapa pemain KDA FC menghubungi Arena Metro bagi meluahkan kemelut dihadapi dengan majoriti mengakui masih tidak menerima baki tunggakan gaji selama empat bulan.

Difahamkan, tunggakan gaji empat bulan dari September itu sepatutnya selesai pada 31 Januari lalu seperti dipersetujui antara pemain dan pengurusan pasukan.

Situasi sama turut dilalui KL City yang dikhabarkan turut berdepan tunggakan gaji dengan pengurusan pasukan ketika ini giat menyelesaikan masalah terbabit sebelum saingan Liga Super bermula.

Ketika ini, tiada kelab Liga M yang dipegang syarikat besar atau taikun di negara ini dengan kebanyakannya hanya dimiliki oleh individu tertentu saja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 1:21 PM