DAUD pada sidang media menjelaskan kedudukan terkini pasukan Kedah. FOTO Facebook
DAUD pada sidang media menjelaskan kedudukan terkini pasukan Kedah. FOTO Facebook
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemilik pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengesahkan pasukannya memang mengalami masalah tunggakan gaji membabitkan skuad utama yang bersaing di Liga Super serta pasukan bawahan kelab itu.

Dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di platform Facebook KDA FC hari ini, beliau tampil memohon maaf kepada seluruh rakyat Kedah terutamanya peminat bola sepak negeri itu serta memohon maaf kepada barisan kejurulatihan dan pemain pasukan itu.

Jelas Daud, beliau berjanji 'tidak akan lari' daripada tanggungjawab dan akan memikul untuk melangsaikan serta menyelesaikan tunggakan gaji yang menghantui pasukan itu.

"Saya memohon maaf kepada jurulatih pasukan Liga Super, Nafuzi Zain barisan kejurulatihan, pegawai, staf dan pemain serta ahli keluarga mereka atas masalah kewangan atau lebih tepat lagi masalah aliran tunai yang sedang dihadapi KDA FC.

"Perkara ini menyebabkan masalah tunggakan gaji dan mengakibatkan persembahan pasukan yang kurang memberangsangkan kebelakangan ini.

"Saya juga minta maaf kepada penyokong atas segala kelemahan KDA FC. Sebagai pemilik saya ambil tanggungjawab sepenuhnya masalah kewangan. Saya masih sayang KDA FC dan akan selamatkan KDA FC.

"Saya tetap kerja keras untuk pulihkan saluran oksigen (dana bekalan yang mencukupi)," katanya pada sidang media itu.

Ujarnya lagi, beliau sanggup berkorban termasuk menjual saham syarikat miliknya bagi memastikan KDA FC terus 'bernyawa'.

"Bagi saya KDA FC memang dekat di hati saya sebab ini tanggungjawab sosial, undang-undang di mana kita jadi pemilik dan pengurus kita kena tanggungjawab sepenuhnya untuk menyelesaikan liabiliti kewangan kita.

"Syarikat saham kita jual, dan boleh beli balik saham tersebut, tapi KDA FC ini tidak boleh. Ia satu peluang yang kita perlu pertahankan supaya KDA FC terus releven dalam konteks bola sepak.

"Jadi saya tidak teragak-agak (pertahankan). Saya sudah banyak apungkan saham-saham KDA FC dan syarikat saya di Dubai dan antarabangsa untuk dapatkan sedikit kecairan untuk menyelamatkan KDA FC," katanya.

Terdahulu menerusi pendedahan Arena Metro, sebuah pasukan di Utara tanah air didapati mengalami isu tunggakan gaji babitkan pasukan Kedah, dua pasukan di wilayah tengah semenanjung iaitu KL City dan Negeri Sembilan FC.

Manakala dikhabarkan satu pasukan di Borneo turut berdepan isu kelewatan pembayaran gaji.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 2:02 PM