MASIH terdapat dua pasukan Liga Super belum lunaskan gaji. -FOTO Liga Super
MASIH terdapat dua pasukan Liga Super belum lunaskan gaji. -FOTO Liga Super
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Saingan Liga Super musim 2024/2025 belum lagi bermula namun sekurang-kurangnya dua pasukan kemungkinan berdepan risiko lesen kebangsaan ditarik atau dikenakan sekatan pembelian pemain hanya kerana gagal menyelesaikan tunggakan gaji masing-masing.

Menurut sumber, ketika ini dua pasukan Liga Super bertaraf gergasi masih lagi belum menyelesaikan tunggakan membabitkan empat bulan gaji hingga mendorong pemain dan pegawai kelab terbabit mengambil tindakan susulan bagi mendapatkan hak mereka.

Malah, beliau berkata, masalah terbabit semakin serius apabila terdapat pemain membuat laporan polis berhubung tindakan majikannya yang sengaja tidak mahu menyelesaikan tunggakan gaji hingga berdepan pelbagai masalah lain.

"Saya difahamkan, tunggakan gaji membabitkan dua pasukan itu masih lagi belum diselesaikan sehingga kini dan isu itu mula tersebar di kalangan penyokong bola sepak tanah air.

"Pihak pengurusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan mengadakan perjumpaan bersama dua pasukan itu untuk mendapatkan penyelesaian terbaik dalam tempoh terdekat ini.

"Namun, jika gagal menyelesaikannya mungkin mereka berdepan risiko tidak boleh beraksi dalam saingan Liga Super atau sekurang-kurangnya pembelian pemain akan disekat," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, ketika ini dua pasukan Liga Super iaitu Kuala Lumpur City (KL City) FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC berdepan tunggakan gaji sehingga mencecah empat bulan.

Malah, beberapa pemain KDA FC menghubungi Arena Metro bagi meluahkan kemelut dihadapi dengan majoriti mengakui masih tidak menerima baki tunggakan gaji selama empat bulan.

Difahamkan, tunggakan gaji empat bulan dari September itu sepatutnya selesai pada hari ini (31 Januari 2024), seperti dipersetujui antara pemain dan pengurusan pasukan.

Situasi sama turut dilalui KL City yang dikhabarkan turut berdepan tunggakan gaji dengan pengurusan pasukan ketika ini giat menyelesaikan masalah terbabit sebelum saingan Liga Super bermula.

Selain itu, sumber berkata, jika situasi terbabit semakin meruncing, kemungkinan tindakan akan diambil sekali gus tidak mustahil Liga Super musim 2024/2025 akan bermula dengan 11 pasukan saja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 1:18 PM