FERNANDES (kanan) meraikan jaringannya dengan gaya tersendiri. FOTO AFP
FERNANDES (kanan) meraikan jaringannya dengan gaya tersendiri. FOTO AFP
AFP

London: Manchester United menamatkan rekod kemenangan berturut-turut Manchester City apabila meraih kemenangan 2-0 ke atas pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, hari ini.

Skuad bimbingan Pep Guardiola melakar rekod baru kelab EPL apabila meraih 21 kemenangan berturut-turut di semua pertandingan menjelang aksi setempat dengan United.

Bagaimanapun United menamatkan rekod 28 perlawanan tanpa kalah City di semua pertandingan hasil sepakan penalti Bruno Fernandes pada separuh masa pertama dan jaringan Luke Shaw pada babak kedua di Stadium Etihad.

United di bawah bimbingan Ole Gunnar Solskjaer yang tidak tewas sepanjang 22 perlawanan terakhir mereka di tempat lawan, masih kekal di tangga kedua tetapi ketinggalan 11 mata di belakang City yang berbaki 10 perlawanan lagi.

Meskipun meraih kekalahan pertama sejak tewas di Tottenham pada November tahun lalu, City kekal pasukan pilihan untuk memenangi takhta kejuaraan liga buat kali ketiga dalam tempoh empat musim.

"Kami akan menjadi berita utama kerana tewas. Tetapi berita sebenarnya ialah kami melakar 21 kemenangan berturut-turut.

"Kami beraksi lebih baik berbanding ketika bertemu West Ham yang menyaksikan kami menang," kata Guardiola.

"Kami akan cuba memenangi sebanyak mungkin perlawanan selepas ini untuk muncul juara."

Meskipun melakar kemenangan ke atas City, United lebih memikirkan untuk kekal menduduki empat pasukan teratas berbanding mengejar impian memburu kejuaraan liga.

"Apabila anda beraksi di tempat lawan dan mencatat kemenangan 2-0, pastinya anda gembira.

"Tapi hakikatnya City masih jauh di depan untuk kami mengejar mereka," kata Solskjaer.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 7:32 AM