CITY bukan saja buru kejuaraan liga tapi rekod kemenangan berturut-turut baik peringkat domestik mahupun Eropah. FOTO EPA
CITY bukan saja buru kejuaraan liga tapi rekod kemenangan berturut-turut baik peringkat domestik mahupun Eropah. FOTO EPA
AFP

London: Manchester City sedia untuk melakar rekod baru apabila pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu akan berdepan dengan pencabarnya, Manchester United awal pagi Isnin ini.

City sekarang ini 14 mata mengatasi United dengan berbaki 11 perlawanan dan kemenangan dalam aksi seteru setempat itu bakal menamatkan harapan musuh tradisi untuk mengejar mereka.

Pasukan bimbingan Pep Guardiola mula menguasai saingan pada hujung tahun lalu dan sekarang berada pada landasan terbaik untuk meraih kejuaraan ketiga dalam tempoh empat musim.

Mereka belum kalah dalam 28 perlawanan berturut-turut dan bersedia untuk melakar rekod baru jika dapat mengelak daripada dimalukan Isnin ini.

Mereka juga mampu menjadi pasukan pertama dari England yang mencatat 21 kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan.

Pasukan dari lima liga terbaik Eropah yang berjaya mencatat rekod kemenangan paling panjang dalam semua kejohanan ialah Bayern Munich (23) dan Real Madrid (22).

"Untuk melakukan apa yang kami lakukan sepanjang empat tahun ini ialah teruskan kemenangan, pemain ini mempunyai sesuatu yang istimewa sama seperti saya di Barcelona dan Bayern Munich.

"Kami berada pada kedudukan terbaik. Saya tidak jangka akan berada di posisi ini dalam tempoh dua atau tiga bulan lalu namun kami harus kekal tenang," kata Guardiola.

Secara realistiknya, United yang lima mata mengatasi pasukan tangga kelima, Everton, harus lebih fokus kepada melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan sama ada dengan muncul juara Liga Europa ataupun berada dalam kelompok empat terbaik.

"Fokus kami hanyalah kepada perlawanan ini dan bukan di mana kami akan berada selepas menamatkan saingan.

"Mereka jauh meninggalkan kami setakat ini, jadi Isnin ini adalah peluang untuk kami mencuba menentang pasukan terbaik," kata pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 11:54 AM