GUNDOGAN menjulang trofi dan diraikan oleh rakan sepasukannya. FOTO Reuters
GUNDOGAN menjulang trofi dan diraikan oleh rakan sepasukannya. FOTO Reuters
AFP

London: Ilkay Gundogan menggesa Manchester City untuk kekal fokus ketika juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu bersiap sedia mencapai sasaran kejuaraan treble.

City dinobatkan sebagai juara EPL buat kali kelima dalam tempoh enam musim selepas Arsenal yang menduduki tangga kedua liga tewas di Nottingham Forest.

Pasukan bimbingan Pep Guardiola menikmati pesta kejuaraan mereka pada Ahad lalu dengan kemenangan 1-0 menentang Chelsea sebelum kapten pasukan, Gundogan menjulang trofi.

Selepas mengesahkan kejuaraan EPL kali ketiga berturut-turut, City kini boleh memberi tumpuan untuk mencontohi pasukan Manchester United, yang memenangi Liga Perdana, Liga Juara-Juara dan Piala FA pada 1998-99.

Tetapi sebelum itu City mesti menamatkan kempen liga mereka dengan kunjungan ke Brighton dan Brentford masing-masing pada Khamis dan Ahad ini.

City, yang memenangi 12 perlawanan terakhir liga mereka, tidak tewas dalam 24 perlawanan dan pemain tengah Jerman, Gundogan mahu rakan sepasukan tidak kehilangan momentum itu.

"Kami tidak tewas sebarang perlawanan selama beberapa minggu dan itulah standard yang perlu kami tetapkan untuk diri kami sendiri.

"Kami tidak melakukan apa-apa yang berbeza. Kami melakukan perkara yang sama sejak beberapa minggu lalu dan berharap ia boleh menjadi penamat musim yang sangat istimewa.

"Saya sayang kelab ini dan menjadi sebahagian daripada pasukan yang menakjubkan ini. Jelas sekali, kami mahu menamatkan musim ini dengan dua lagi trofi.

"Kami mempunyai dua lagi perlawanan final yang penting dan dua perlawanan terakhir Liga Perdana musim ini akan menjadi persediaan untuk itu. Kami tidak mahu mencicirkan mata. Saya ingin menjulang dua lagi trofi," katanya.

Pemburuan kejuaraan treble City selepas ini adalah menentang Manchester United dalam perlawanan akhir Piala FA di Wembley pada 3 Jun, dan Inter Milan dalam final Liga Juara-Juara di Istanbul, 11 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 7:52 AM