Idris Haron…(kanan) ketika menjadi presiden MUSA.
Idris Haron…(kanan) ketika menjadi presiden MUSA.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Mantan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Datuk Seri Idris Haron dikhabarkan bakal kembali menerajui kepimpinan persatuan terbabit.

Cerita Idris kembali menerajui MUSA hangat dan viral di media sosial menjelang Kongres MUSA ke 65 yang akal berlangsung di Bandar Hilir, Ahad ini.

Idris ketika mengulas perkembangan terbabit berkata, KM yang juga presiden MUSA, Datuk Seri Sulaiman Md Ali ada menawarkan jawatan berkenaan kepadanya sebelum ini.

"KM ada menawarkan saya dalam perbualan biasa ketika bersarapan pagi dengannya, ketika lawatan rasmi beliau ke Kem Terendak, untuk saya menerajui MUSA dengan harapan dapat membantu meringankan tanggungjawab beliau menerajui Negeri Melaka.

"Dalam suasana pandemik Covid-19 yang tidak menentu ini, saya cuma memerlukan sedikit masa untuk mempertimbangkannya.

Namun saya yakin dengan sedikit pengalaman yang ada, saya boleh mencurahkan semula untuk kemajuan bola sepak negeri dengan pelbagai cara sekali pun," katanya.

Menurut perlembagaan MUSA, KM adalah presiden secara automatik, tetapi jika KM tidak berminat, beliau boleh menamakan sesiapa sahaja yang layak.

Bermakna jawatan Presiden MUSA tidak boleh dipertandingkan yang kini disandang Sulaiman.

Sepanjang menerajui MUSA dari 2014 hingga 2018, Idris berjaya mentransformasi skuad Melaka dari sebuah pasukan yang beraksi dalam saingan Liga FAM kepada salah satu pasukan yang bersaing di pentas Liga Super.

Sepanjang kepimpinannya, Melaka berjaya bergelar juara dua musim berturut-turut iaitu juara Liga FAM 2015 dan Juara Liga Perdana 2016 dalam masa sama membawa Melaka ke saingan liga bola sepak teratas negara buat pertama kali dalam tempoh 10 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 5:59 PM