SULAIMAN (kanan) memperkatakan sesuatu kepada Hamidin (tengah). FOTO FB FAM
SULAIMAN (kanan) memperkatakan sesuatu kepada Hamidin (tengah). FOTO FB FAM
BERNAMA

PERSATUAN Bola Sepak Melaka (MUSA) berjaya melengkapkan proses penswastaan kelab menjelang tarikh akhir yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada hujung bulan ini.

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan hari ini mengucapkan syabas kepada MUSA di bawah kepimpinan presidennya Datuk Sulaiman Md Ali yang juga Ketua Menteri Melaka atas dedikasi menyelesaikan proses itu sebelum tarikh tamat.

Hamidin dan Sulaiman terdahulu bertukar pandangan serta berkongsi maklumat terkini mengenai proses penswastaan dari persatuan (FA) ke kelab (FC) serta syarat-syarat pelesenan kelab, status kewangan MUSA, peta hala tuju FAM serta visi dan misi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

"FAM berbesar hati menerima kunjungan hormat Datuk Sulaiman Md Ali dan delegasi MUSA yang menggambarkan komitmen mereka untuk mendalami dasar-dasar serta usaha-usaha yang FAM lakukan.

"Dengan usaha dan komitmen ini jelas membuktikan keprihatinan dan kesungguhan beliau dalam memimpin MUSA," kata Hamidin.

Dalam pertemuan sejam itu, Sulaiman turut menyatakan pihaknya akan sentiasa memastikan MUSA mematuhi peraturan bola sepak FAM dan MFL dalam usaha menaikkan lagi mutu serta prestasi pasukan.

Hadir sama, Timbalan Presiden FAM yang juga Timbalan Presiden MUSA Datuk Mohd Yusoff Mahadi; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Seri Dr Hasim Hasan dan barisan exco MUSA.

Penswastaan kelab dilihat mampu memperbaiki aspek pengurusan pasukan selain antara alternatif terbaik kepada kemelut kewangan dihadapi pasukan sehingga menjejaskan proses pembayaran gaji pemain akibat kebergantungan kepada dana kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 2:48 PM