MOHD Yusoff menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden MUSA. FOTO Owee Ah Chun
MOHD Yusoff menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden MUSA. FOTO Owee Ah Chun
Nazri Abu Bakar


Melaka: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menang tanpa bertanding menjelang Kongres ke-65 persatuan itu esok.

Bagaimanapun, saingan sengit membabitkan pertandingan enam penjuru bagi jawatan naib presiden pada kongres yang bakal dirasmikan Presiden MUSA yang juga Ketua Menteri (KM) Datuk Seri Sulaiman Md Ali di Bandar Hilir.

Mohd Yusoff mengulas kemenangan terbabit berkata, dia amat menghargai kepercayaan ahli gabungan memilihnya bagi mempertahankan jawatan terbabit.

Katanya, sokongan berkenaan menyuntik semangatnya untuk terus bekerja keras membantu kecemerlangan persatuan terbabit.

"Apapun, pemilihan kali ini dilihat menarik berikutan ramai calon menawarkan diri bertanding termasuk jawatan exco.

"Saya yakin lebih 80 perwakilan bakal membuat keputusan bijak menentukan hanya empat naib presiden dan hanya lapan exco bakal terpilih daripada 16 nama yang menawarkan diri," katanya.

Mohd Yusoff berkata, calon berwibawa amat penting dalam menyokong pembangunan bola sepak akar umbi bergerak lebih aktif menyumbang kepada skuad Liga Malaysia pada masa hadapan.

Sementara itu, dia menyerahkan keputusan kepada KM berkaitan khabar mantan Presiden MUSA, Datuk Seri Idris Haron yang diberitakan bakal kembali menerajui kepimpinan persatuan terbabit.

Cerita Idris kembali menerajui MUSA hangat dan viral di media sosial menjelang Kongres MUSA itu, namun ia hanya boleh ditentukan Sulaiman.

Menurut perlembagaan MUSA, KM adalah presiden secara automatik, tetapi jika KM tidak berminat, beliau boleh menamakan sesiapa sahaja yang layak.

Bermakna jawatan Presiden MUSA tidak boleh dipertandingkan yang kini disandang Sulaiman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2020 @ 6:06 PM