GANDINGAN Zalina (kiri) bersama Auni Fathiah (tiga dari kanan) berjaya raih pingat emas selepas mengatasi pasangan Singapura. -Foto fail
GANDINGAN Zalina (kiri) bersama Auni Fathiah (tiga dari kanan) berjaya raih pingat emas selepas mengatasi pasangan Singapura. -Foto fail
BERNAMA

SELEPAS kejayaan cemerlang pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos lalu, skuad boling padang negara meneruskan rentak gemilang apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan Boling Padang Asia ke-12 di New Delhi, semalam.

Skuad boling padang negara berjaya mengumpul lima pingat emas, satu perak dan dua gangsa.

Terdahulu Jumaat lalu, mereka memenangi tiga pingat emas dan menambah dua lagi pingat emas semalam melalui acara perseorangan lelaki dan beregu wanita.

Dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki, Mohamed Soufi Rusli mengalahkan Cheung Chi Hing dari Hong Kong 21-11.

Siti Zalina Ahmad pula berjaya meraih pingat emas kedua peribadinya pada kejohanan itu selepas bergandingan dengan Auni Fathiah Kamis untuk mengatasi saingan Singapura, Tammy Tham dan Shermeen Lim 18-3.

Jumaat lalu, Siti Zalina memenangi acara perseorangan wanita iaitu emas ke-10 peribadinya pada kejohanan itu.

Dalam pada itu, gandingan Nur Ain Nabilah Tarmizi, Zuraini Khalid dan Azlina Arshad dalam acara triples wanita terlepas pingat emas selepas tewas 11-20 kepada tuan rumah India pada perlawanan akhir manakala pasukan fours lelaki sekadar meraih pingat gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 3:20 PM