PEMAIN perseorangan lelaki negara, Faiz Rozain beraksi pada final menentang wakil dari Indonesia, Radi Zafran Ferary. FOTO AUG
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Faiz Rozain beraksi pada final menentang wakil dari Indonesia, Radi Zafran Ferary. FOTO AUG
Syazwan Msar


Ubon Ratchathani: Skuad badminton negara membuktikan penguasaan di Sukan Universiti Asean (AUG) apabila menambah dua pingat emas pada hari terakhir acara berkenaan hari ini.

Tambahan dua pingat emas itu mengesahkan kem badminton negara untuk muncul sebagai juara keseluruhan bagi acara berkenaan dengan membawa pulang empat emas.

Emas pertama skuad badminton hari ini hadir menerusi pemain perseorangan lelaki negara, Faiz Rozain yang mempamerkan aksi terbaik menewaskan wakil Indonesia.

Pada perlawanan yang berlangsung di Dewan Badminton Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat itu, Faiz mempamerkan penguasaan penuh untuk menang 21-13, 21-8 ke atas Muhammad Radi Zafran Ferary.

"Alhamdulillah sasaran saya untuk raih dua emas di AUG pertama saya tercapai. Dalam perlawanan akhir saya berikan segala-galanya dan dapat membawa setiap pergerakan lawan.

"Saya banyak terima tunjuk ajar di bawah kendalian jurulatih (Datuk Rashid Sidek), pengalaman dia juga membantu saya pada kali ini," kata penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

Kecemerlangam kem badminton diteruskan menerusi gandingan beregu wanita, Teoh Lexuan-Yap Rui Chen untuk emas kedua selepas menewaskan rakan senegara, Desiree Siow-Ng Qi Xuan

Bagaimanapun, Lexuan-Rui Chen tidak diberikan laluan mudah oleh Disiree-Qi Xuan apabila perlawanan berlanjutan sehingga ke set penentuan sebelum menang 18-21, 22-20, 21-11.

Namun, hasrat kem negara untuk menambah koleksi emas menerusi acara beregu lelaki dan beregu campuran tidak kesampaian apabila kedua-duanya tewas kepada gandingan Indonesia.

Pasangan beregu lelaki negara, Mohammad Faris Zaim Abdul Khalid-Ameer Amri Zainuddin tewas straight set 21-13, 21-18 kepada Nendi Novatino-Reza Dwicahya.

Sementara, Kok Xian Tan-Desiree juga tewas straight set 20-22,21-23 kepada Dwiki Rafian Restu-Elizabeth Jovita.

Sebelum ini, kem badminton meraih dua emas menerusi acara berpasukan lelaki dan wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 5:29 PM