JUSTIN menyumbang mata pertama buat skuad berpasukan campuran negara. FOTO FB BAM
JUSTIN menyumbang mata pertama buat skuad berpasukan campuran negara. FOTO FB BAM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia memulakan kempen acara berpasukan campuran merebut Piala Suhadinata pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia dengan mengalahkan Sweden 5-0 di Santander, Sepanyol, malam tadi.

Malaysia yang berada dalam Kumpulan A mengutip mata pembukaan apabila pemain perseorangan lelaki, Justin Hoh menewaskan Eric Ramstedt 21-10, 21-10, sebelum menambah mata kedua menerusi pemain perseorangan wanita, Siti Nurshuhaini Azman.

Siti Nurshuhaini mengalahkan Khushi Harakamani 21-12, 21-12.

Beregu lelaki negara, Muhammad Fazriq Mohamad Razif-Wong Vin Sean mengesahkan kemenangan Malaysia apabila menyingkirkan pasangan Victor Morskogen-Daniel Strom, 21-12, 21-9.

Beregu wanita negara, Ong Xin Yee- Carmen Ting terpaksa berhempas pulas selama 50 minit sebelum mengalahkan Elin Ohling-Elin Ryberg, 21-18,17-21, 21-16 manakala mata terakhir diperoleh beregu campuran negara, Bryan Jeremy Goonting-Lee Xin Jie selepas mengatasi Mio Molin-Sofia Stromvall, 21-16, 21-23, 21-15.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, juara bertahan Indonesia mengalahkan Latvia 5-0.

Hari ini, Malaysia akan berdepan dengan Latvia manakala Indonesia menentang Sweden.

Malaysia akan menentang Indonesia, Rabu ini.

Sebanyak 38 negara dalam lapan kumpulan mengambil bahagian dalam acara berpasukan campuran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 10:27 AM