PEMAIN yang beraksi di Grand Prix Final Kejohanan Badminton Junior ‘Road to NTC. FOTO GENES GULITAH
PEMAIN yang beraksi di Grand Prix Final Kejohanan Badminton Junior ‘Road to NTC. FOTO GENES GULITAH
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Aaron Tai-Kang Khai Xing dijangka mampu menyumbang pingat emas untuk skuad Malaysia pada Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) yang akan berlangsung di Yogyakarta, Indonesia bermula 28 Jun sehingga 7 Julai ini.

Bekas jurulatih remaja negara, Kwan Yoke Meng yang membuat jangkaan itu bagaimanapun berkata, Aaron-Khai Xing perlu berwaspada kerana beberapa negara seperti China, Indonesia dan Korea Selatan mampu menjadi pencabar utama.

"Saya percaya pada kejohanan seperti ini, Indonesia, China dan Korea Selatan akan sentiasa menggugat kepada kem Malaysia. Jadi saya rasa untuk acara individu, peluang terbaik kita adalah Aaron dan Khai Xing.

"Saya rasa mereka adalah yang paling hampir untuk memenangi pingat buat skuad Malaysia. Tetapi dalam masa yang sama, saya juga rasa pasukan kali ini adalah pasukan yang kuat, mempunyai kekuatan yang seimbang dan semua pasukan mempunyai peluang untuk menang," kata Yoke Meng ketika ditemui pada Grand Prix Final Kejohanan Badminton Junior 'Road to NTC', hari ini.

Kejohanan berkenaan yang mendapat tajaan pemaju hartanah terkemuka, NCT Alliance Berhad (NCT Alliance) dan dianjurkan dengan kerjasama Kelab Badminton Petaling (Petaling BC), adalah bertujuan untuk mencungkil bakat barisan pemain muda negara.

Bermula Januari lalu, kejohanan itu berjaya menarik lebih daripada 3,000 pemain muda yang menunjukkan semangat tinggi untuk bersaing.

Minggu lalu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan 22 pemain untuk menyertai BAJC dengan 16 daripadanya akan bersaing dalam acara berpasukan campuran.

Timbalan Presiden 1 BAM Datuk V Subramaniam berkata, pemain yang terpilih diharapkan mampu menyerlahkan potensi sebenar mereka pada saingan BAJC kali ini.

Pada edisi tahun lalu yang turut berlangsung di Yogyakarta, barisan pemain negara mempamer prestasi mengecewakan apabila pulang dengan tangan kosong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2024 @ 9:32 PM